Isu Kain Kafan RM999: Mufti Tegur ‘Jenama Tak Dibawa Ke Kubur’

KUALA LUMPUR: Kontroversi kain kafan berharga RM999 yang tular di media sosial terus mencuri perhatian apabila Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Ahmad Fauwaz Fadzil, tampil memberikan teguran berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau, walaupun niat di sebalik pembelian kain kafan tersebut mungkin baik, tindakan yang menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat wajar dielakkan.

Ahmad Fauwaz menjelaskan, perbuatan sedemikian boleh dikaitkan dengan kecelaruan mizan atau neraca pertimbangan, sehingga mendorong seseorang melakukan tindakan yang kelihatan ganjil.

Tegasnya, meskipun ia tidak dikategorikan sebagai perbuatan haram, umat Islam perlu memahami keadaan mizan dalam setiap amalan dan keputusan yang dibuat, khususnya melibatkan soal kematian.

“Tidak salah untuk menempah kain kafan dengan sesiapa sahaja, tetapi elakkan daripada menggunakan ungkapan ‘pakaian berjenama’ ketika berbicara soal kematian. Mizan pada saat itu bukan pada jenama, tetapi pada amalan soleh yang kita bawa,” katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menjemput individu yang dikaitkan dengan pembelian kain kafan berharga RM999 berkenaan supaya hadir ke pejabatnya sekiranya terdapat sebarang kekeliruan berkaitan isu tersebut.

“Kalau ada kekeliruan, datanglah ke pejabat saya. Kita bincangkan dan jelaskan bersama. Saya sayang masyarakat saya,” katanya.

Sebelum ini, seorang usahawan terkenal mencetuskan perdebatan hangat selepas berkongsi di media sosial mengenai persiapan menghadapi kematian dengan menempah pakaian untuk ke alam kubur.

Difahamkan, set kain kafan itu ditempah khas daripada seorang pereka fesyen terkenal tempatan dengan harga RM999.

Usahawan berkenaan turut mendakwa keputusan tersebut dibuat sebagai peringatan kepada diri sendiri serta persediaan awal bagi menghadapi kehidupan selepas mati, namun perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi dan pandangan berbeza dalam kalangan netizen.

BBerkaitan

Latest articles