Isu Jam Mewah Tular, Bekas PTD Tampil Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Kontroversi jam tangan yang tular di media sosial mendorong bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Mohammad Hafizuddeain Jantan tampil membuat laporan polis selepas dikaitkan dengan pemilikan jam mewah bernilai ratusan ribu ringgit.

Melalui peguamnya, Aizul Borhan Anuar, beliau menegaskan jam yang dipakai ketika hadir ke mahkamah bukan berjenama Patek Philippe seperti didakwa, sebaliknya merupakan jam rasmi keluaran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurut Aizul, dakwaan yang dilemparkan aktivis politik Chegubard itu adalah tidak berasas dan berpunca daripada manipulasi imej yang mencetuskan persepsi salah dalam kalangan orang ramai.

“Jam tersebut jelas tertera tulisan ‘Chief of Army’ dan saya sendiri telah memeriksanya pada hari pertuduhan. Ia sama sekali bukan jam mewah seperti yang diperkatakan,” katanya pada sidang media di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, hari ini.

Selain isu jam tangan, Mohammad Hafizuddeain turut membuat laporan polis berhubung penyebaran maklumat peribadi termasuk butiran akaun bank yang didakwa diperoleh dan didedahkan tanpa kebenaran.

Pihaknya kini sedang meneliti kemungkinan mengambil tindakan sivil terhadap individu terlibat atas dakwaan fitnah serta pendedahan dokumen sulit.

Aizul turut memaklumkan anak guamnya telah diminta memberi keterangan bagi membantu siasatan pihak berkuasa.

Sebelum ini, gambar Mohammad Hafizuddeain memakai jam tangan yang didakwa mewah menjadi tular dan mencetuskan perdebatan hangat warganet mengenai kemewahan penjawat awam.

Untuk rekod, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 22 Januari lalu atas empat pertuduhan melibatkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2.12 juta, sebelum berdepan dua lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Shah Alam sehari kemudian melibatkan RM145,000.

BBerkaitan

Latest articles