KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merujuk kertas siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap oleh akhbar Sin Chew Daily kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan ke atas insiden yang mencetuskan kontroversi itu telah selesai dan kini menunggu arahan selanjutnya daripada pihak pendakwaan.
“Setakat ini, seramai 54 individu telah dirakam keterangan, dan mungkin akan ada saksi lain dipanggil sekiranya perlu. Siasatan awal mendapati kesilapan teknikal menjadi alasan utama yang diberikan pihak akhbar berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Terdahulu, Sin Chew Daily memohon maaf secara terbuka berhubung insiden penyiaran imej Jalur Gemilang tanpa bulan sabit di muka depan edisi Selasa lalu.
Insiden tersebut mencetuskan reaksi negatif dalam kalangan masyarakat yang menganggapnya sebagai satu kecuaian serius.
Susulan itu, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting akhbar berbahasa Cina itu digantung tugas sementara siasatan dijalankan.
Mereka turut dipanggil memberikan keterangan selama tiga jam kepada pihak polis sebelum dibebaskan dengan jaminan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) turut menjalankan siasatan terhadap Kwong Wah Yit Poh selepas satu hantaran Facebook memaparkan imej Jalur Gemilang yang tidak sempurna pada muka hadapan edisi petangnya, juga pada hari yang sama.
Menurut Razarudin, polis telah menerima sebanyak 40 laporan berhubung isu bendera tidak lengkap itu di seluruh negara.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta
Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Polis komited menjalankan siasatan menyeluruh terhadap isu ini demi memastikan maruah dan identiti negara terus dipelihara,” tambah beliau.