Isu Gas Memasak – Kabinet Lulus Pindaan PPKB, Peniaga Mikro Dibenar Terus Gunakan Tong Gas LPG Bersubsidi

PUTRAJAYA, – Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memutuskan bahawa peniaga mikro dalam sektor makanan dan minuman dibenarkan terus menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi tanpa perlu mendapatkan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB), berkuat kuasa serta-merta sehingga pindaan baharu kepada Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan 2021) dimuktamadkan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk tidak lagi membebankan peniaga kecil, terutama golongan penjaja dan pengusaha makanan berskala mikro.

“Dulu peniaga kecil pun kena permit LPG. Sekarang, tak perlu lagi. Peniaga nasi lemak, goreng pisang, dan air balang – kita lindungi. Yang curi subsidi untuk industri, kita buru. Itu OPS GASAK,” katanya pada sidang media di kementeriannya, di sini hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa OPS GASAK bukan bertujuan untuk menekan penjaja kecil, sebaliknya difokuskan untuk membanteras penyalahgunaan subsidi oleh pihak industri dan kartel.

“OPS GASAK bukan tentang kacau penjaja kecil. Ia tentang tutup lubang kartel besar yang kenyang dengan subsidi rakyat,” katanya.

Armizan menjelaskan pindaan terhadap peraturan itu dijangka dapat dimuktamadkan selepas selesai pelaksanaan OPS GASAK yang kini dijadual berakhir pada 31 Oktober 2025.

Turut hadir dalam sidang media itu ialah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.

Terdahulu, beliau memaklumkan bahawa pindaan ini penting bagi menyemak semula Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan 2021) yang diluluskan pentadbiran terdahulu dan telah berkuat kuasa sejak 15 Oktober 2021, yang menghadkan pemilikan dan penggunaan LPG melebihi 42 kilogram kepada mereka yang memiliki PBKB.

“Teras kepada pindaan yang akan dibuat adalah untuk mengambil kira keperluan sebenar peniaga makanan dan minuman berskala mikro serta kecil, secara bersasar,” jelas beliau.

Bagi memastikan pelaksanaan yang telus dan inklusif, Jemaah Menteri bersetuju supaya semakan dan pindaan kepada PPKB itu diselaraskan oleh sebuah Jawatankuasa Teknikal dipengerusikan Ketua Setiausaha KPDN, dengan penglibatan kementerian serta agensi berkaitan, termasuk sesi libat urus bersama pemegang taruh.

Dalam masa yang sama, usaha membanteras penyelewengan subsidi melalui aktiviti haram seperti decanting serta penyalahgunaan LPG bersubsidi oleh pihak industri akan terus diperhebat menerusi OPS GASAK yang sedang berjalan.

BBerkaitan

Latest articles