Isu Fesyen Mencolok Mata: Artis Islam Mungkin Berdepan Siasatan Syariah

KUALA LUMPUR: Selebriti beragama Islam yang tampil dengan pakaian mencolok mata di khalayak ramai berkemungkinan berdepan tindakan di bawah undang-undang jenayah syariah, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menjelaskan, pihaknya kini sedang meneliti secara menyeluruh garis panduan pemakaian artis Islam, sekali gus menilai sama ada wujud pelanggaran peraturan atau enakmen syariah yang memerlukan tindakan lanjut.

Menurut Mohd Na’im, beliau telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta Mufti Wilayah Persekutuan untuk menilai semula garis panduan sedia ada.

Langkah itu diambil susulan kebimbangan yang timbul mengenai trend fesyen segelintir artis wanita Melayu Islam yang disifatkan terlalu menjolok mata ketika membuat persembahan atau menerbitkan karya seni.

Kontroversi terbaharu membabitkan video muzik kumpulan Dolla berjudul Question turut mencetuskan perdebatan, dengan sebahagian masyarakat mengecam gaya fesyen yang dianggap terlalu seksi.

Pendakwah selebriti, Asma’ Harun, juga menegur secara terbuka penampilan kumpulan berkenaan dan menyifatkannya tidak bermoral serta memalukan wanita Islam.

Mohd Na’im menegaskan bahawa selebriti perlu lebih prihatin terhadap penampilan mereka memandangkan golongan muda menjadikan mereka sebagai ikon.

Beliau berharap artis dapat mempamerkan contoh yang baik serta mematuhi adab dan nilai masyarakat Timur yang menekankan kesopanan.

“Sebagai orang Islam, apa sahaja perbuatan kita perlu membawa kepada kebaikan dan memberi pengaruh positif kepada anak muda. Harapan saya agar selebriti tampil dengan imej terbaik dan menghormati garis panduan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (KPMAIWP) di MECC, yang turut disertai pimpinan MAIWP dan wakil institusi berkaitan.

BBerkaitan

Latest articles