Isu Felda: Muhyiddin Terus Berdiam Bila Diajak Berdebat

MUAR: Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan beliau tidak akan sesekali ‘merosakkan’ Felda yang merupakan warisan Tun Abdul Razak untuk membantu golongan berkenaan.

Malah beliau memberitahu pelawaan beliau untuk berdebat dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung isu Felda masih tidak ada jawapan.

“Tak ada (sahutan). Soalan saya beri pun dia tak jawab. Jadi tak bolehlah tuduh saya merosakkan Felda.

“Sebab orang Felda tahu saya yang mewarisi daripada Tun Abdul Razak. Takkan saya nak merosakkan Felda,” jawab Najib yang sebelum ini secara terbuka mencabar Muhyiddin berdebat mengenai isu berkenaan.

Sementara itu menyentuh perkembangan kempen Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Najib meluahkan rasa gembira dengan pengundi Cina yang kembali menyokong gabungan berkenaan.

Pengerusi Lembaga Penasihat BN berkata, sambutan yang diterima beliau kini jauh berbeza dengan sambutan yang diterima beliau pada 2018.

“Setakat ini ada tanda-tanda yang amat mengalakkan misalnya sambutan yang saya dapat pagi ini.

“Saya tak dapat ini (sambutan) pada 2018, itu satu perubahan yang cukup menggalakkan,” kata Najib kepada pemberita selepas program beramah mesra bersama dengan pengundi Cina di Taman Sakeh Baru, hari ini.

Hadir sama adalah calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Gan Q’i Ru, calon DUN Bukit Naning, Datuk Mohd Fuad Tukirin dan calon DUN Simpang Jeram, Datuk Lokman Md Don.

Malah Najib menyifatkan kenyataan Muhyiddin bahawa BN memenangi PRN Johor jika peratusan undi rendah hanyalah andaian semata-mata.

“Itu andaian dia. Kita merayu kepada semua pengundi untuk balik dan melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Kita tengok kepada keadaan, tak semestinya apa yang dia kata itu benar.

“Yang penting kali ini kita buat pilihan yang tepat dan bijak kerana kita tak nak keadaan yang tak stabil macam pisang berbuah dua kali kalau kita pecah-pecahkan undi nanti kita dapat kerajaan yang tak stabil,” katanya lagi.

Muhyiddin semalam berkata sekiranya peratusan keluar mengundi rendah, ia jelas akan menguntungkan UMNO dan BN.

BBerkaitan

Latest articles