Isu DNAA: Ahmad Zahid Gesa Tunggu Penjelasan JKPK

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Ke-15 Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk melakukan pencerahan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) beliau pada 3 September lalu.

Respon Ahmad Zahid menyusul selepas Pengerusi JKPK, William Leong Jee Keen pada semalam berkata jawatankuasa itu akan memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan berhubung DNAA Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid memaklumkan dirinya terbuka dengan saranan untuk memanggil Peguam Negara bagi memberi penjelasan mengenai keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) kes mahkamahnya.

“Apa yang dicadangkan oleh YB William Leong adalah pengumuman yang dilakukan di sidang khas membahaskan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kita serahkan kepada jawatankuasa itu untuk melakukan langkah-langkah ke arah pencerahan isu-isu berkenaan,” katanya pada sidang media di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC, hari ini, selepas merasmikan Gate to Global (GTG) Majlis Amanah Rakyat (MARA) sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2023.

Semalam, Leong ketika membahaskan Kajian Separuh Penggal RMK12 pada sidang Dewan Rakyat akan memanggil Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun untuk memberi penjelasan mengenai DNAA.

Leong yang juga Ahli Parlimen Selayang itu berkata, setelah prosiding itu selesai, JKPK akan membentangkan laporan siasatan mengenai kes itu kepada Dewan Rakyat.

Jumaat lalu, usul tergempar Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bagi meminta sidang Dewan Rakyat ditangguhkan mengikut Perkara 18(1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan Peguam Negara mengenai keputusan DNAA itu.

BBerkaitan

Latest articles