KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kabinet mengambil pendekatan terbuka dalam membincangkan isu berkaitan digital.
Menurut Anwar isu berkenaan perlu dikupas di luar kepompong pemikiran lama walaupun belum ada sebarang keputusan dimuktamadkan berkenaan pendigitalan setakat ini.
“(Kabinet perlu) dapatkan pandangan mereka bagaimana sebagai sepasukan kita bekerja, cari jalan untuk tingkatkan lagi (pertumbuhan ekonomi negara).
“(Jika) mahu jadi pemimpin berkesan, apatah lagi negara yang pelbagai rencam ini. Kepentingan harus kita tengok (dan) menempatkan pandangan mereka (ahli akademik dan gabungan dewan perniagaan).
“Kita akan ambil serius pandangan dikemukakan semua sektor untuk menjana ekonomi yang lebih segar,” katanya dalam ucapan sempena Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di ibu negara hari ini.
Menurut Anwar, Kabinet perlu mencari jalan menjadikan Malaysia sebagai negara maju dengan mempertimbangkan semua faktor tanpa syarat.
“Kami perlu memanfaatkan semua sumber yang ada untuk merangka langkah terbaik bagi memacu negara ke arah kemajuan,” tambahnya.
Selain itu, Anwar turut menekankan keperluan untuk melibatkan golongan akademik dan gabungan dewan perniagaan dalam mencari penyelesaian kepada isu berbangkit.
Melalui kerjasama ini, beliau berharap setiap cabaran dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.
Dalam acara sama, Anwar juga mengumumkan kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa induk yang akan memberi sumbangan yang lebih signifikan dalam menggerakkan ekonomi negara.
Beliau berkata, perubahan sistemik perlu dibuat bagi memastikan Malaysia sentiasa berdaya saing dengan ia perlu berpandukan pemikiran pakar dan input menyeluruh daripada semua pihak.
Justeru, katanya, setiap perubahan perlu bermula dari dalam negara, membabitkan sistem politik dan isu tadbir urus bagi memastikan pentadbiran cekap, memiliki kejelasan dan dasar tepat yang perlu dilaksanakan.
“Penyesuaian perlu walaupun mereka menyatakan ia (ketidaktentuan pasaran) akibat pengumuman terkini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Ia tak semestinya begitu. Dalam istilah ekonomi, selalu ada fasa di mana langkah, perubahan dan teknologi perlu dilakukan.
“Kecerdasan buatan (AI) dan keadaan geopolitik menuntut dan mendesak kita membuat penyesuaian berskala besar dalam keseluruhan sistem.
“Kita bercakap mengenai pusat data dan AI, perubahan yang perlahan dalam (sektor) pendidikan, tiada kemudahan baharu di pusat kesihatan awam atau insentif baru yang membolehkan Malaysia menjadi destinasi pelaburan lebih menarik.
“Apa yang saya cuba cadangkan adalah untuk merayu kepada semua pihak supaya memberikan yang terbaik kerana ini adalah peluang kerana jarang pemimpin politik mengambil pandangan secara terbuka dan belajar daripadanya,” katanya lagi.