KUALA LUMPUR: Tiada perbincangan yang menyentuh isu beras tempatan yang dicampur dalam pek beras import di dalam Mesyuarat Kabinet Kerajaan hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebaliknya berkata perkara itu perlu dirujuk kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
“Perkara ini tidak dibincangkan hari ini. Boleh rujuk kepada menteri berkaitan,” katanya secara ringkas dalam sidang media.
Fahmi berkata demikian selepas diajukan pemberita berkenaan hasil kajian Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang mendapati beras putih tempatan dicampur dengan beras import.
Kajian tersebut menunjukkan bahawa kira-kira 40 hingga 50 peratus beras putih import (BPI) daripada 5,000 sampel yang dianalisis didapati bercampur dengan beras tempatan.
Sampel tersebut diperoleh daripada Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), yang mengutipnya dari kilang pemprosesan beras.
Analisis itu dibuat bagi mengenal pasti punca kehilangan beras putih tempatan (BPT) di pasaran, selaras dengan penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan pada 2023.
Menurut laporan, pencampuran beras dipercayai berlaku di peringkat kilang, walaupun petani telah menggunakan benih tempatan.
Susulan pendedahan ini, pelbagai pihak menggesa kerajaan menarik balik lesen pengilang yang terbabit kerana tindakan mereka dianggap menipu pengguna.