Isu Buli: Pelajar Perlu Berani Lapor Kejadian

KUALA LUMPUR: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki menggesa semua pelajar berani tampil melaporkan sebarang insiden buli, terutamanya yang berlaku di asrama institusi pendidikan di bawah MARA.

Dalam kenyataan dimuat naik di laman sosial Facebook hari ini, Asyraf Wajdi menekankan bahawa pelajar tidak seharusnya takut dilabel dengan gelaran negatif seperti ‘jibam’, ‘Mat Repot’ atau ‘barua’ semata-mata kerana membuat laporan tentang buli.

“Pelajar tidak boleh berdiam diri atau membiarkan diri mereka serta rakan-rakan menjadi mangsa dalam apa jua bentuk perlakuan buli. Kita semua perlu bersatu menghentikan budaya buli ini,” katanya.

Menurut beliau, budaya buli tidak akan diberi ruang di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA) termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), dan tindakan tegas akan dikenakan bukan sahaja terhadap pelaku buli, malah juga terhadap mana-mana pihak yang cuba melindungi mereka.

“Saya tidak akan berkompromi. Jika terbukti ada pihak termasuk pengetua, pengarah, warden, guru atau mana-mana individu yang melindungi pembuli atau cuba menutup kes, tindakan keras akan diambil,” tegas beliau.

Asyraf turut berkongsi bahawa sejak menerajui MARA dua tahun lalu, beliau memanfaatkan media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan X untuk meneliti aduan serta maklum balas daripada pelajar, ibu bapa dan pendidik.

“Setiap lawatan mengejut saya ke IPMA di seluruh negara adalah berdasarkan maklumat daripada rakyat. Banyak isu berjaya diselesaikan seperti kualiti makanan, kebersihan dewan selera, tandas, kemudahan asrama dan bilik guru,” tambahnya.

Terdahulu, MARA mengambil tindakan tegas menamatkan pengajian tujuh pelajar MRSM di Pulau Pinang selepas terbukti terlibat dalam kes buli fizikal.

Insiden itu tular selepas video berdurasi 1 minit 31 saat tersebar, memaparkan mangsa dibuli secara fizikal oleh beberapa pelajar lain.

BBerkaitan

Latest articles