Isu Banjir: Noh ‘Sekolahkan’ Amirudin

KUALA LUMPUR: Tidak wajar untuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari meletakkan salah pengurusan banjir kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam soal pengurusan bencana yang berlaku di negeri itu.

Pengerusi MKN Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, Amirudin sepatutnya faham bahawa di bawah MKN ada dua arahan iaitu pengurusan keselamatan negara dan semakan semula dasar dan mekanisme keselamatan negara.

“Apa yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor itu tidak tepat sama sekali. Oleh itu, saya mohon maaf, saya kena sekolahkan beliau supaya faham arahan dan pentadbiran kerajaan.

“Sebagai Menteri Besar, beliau tak faham arahan, kita lihat persiapan kelam kabut.

“Ada dua jawatankuasa. Saya dilantik di bawah nombor satu iaitu pengurusan keselamatan negeri dan jelas Peraturan 13 bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob boleh lantik mana-mana individu yang layak.

“Fungsi saya adalah tertumpu kepada keselamatan, menyelaras ketenteraman awam, pemberontakan, urusetia saya adalah MKN negeri dan jawatan satu lagi yang dipegang oleh kerajaan negeri adalah pengurusan bencana,” katanya dalam sidang media.

Lebih lanjut, Noh menegaska bahawa, Amirudin mempunyai kuasa mutlak untuk pengurusan bencana dan boleh memanggil mana-mana pihak termasuk polis.

“Itu ada dalam arahan nombor 20 yang mana ia di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang berada di bawah Menteri Tugas-tugas Khas.

“Kalau kuasa yang diberikan kepada kerajaan Negeri, Menteri Besar pun tak faham, kita tengoklah pengurusan banjir peringkat negeri jadi kelam kabut,” jelasnya.

Noh, yang juga Ahli Parlimen Tanjung Karang turut turun padang membantu penduduk di kawasannya yang terjejas banjir.

“Saya turun sebagai ahli Parlimen Tanjung Karang dan melihat sendiri apa yang berlaku.

“Sebagai contoh, ada penduduk yang dipindahkan tetapi bukan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berdaftar.

“Itu tidak lagi isunya, ke mana mereka dipindahkan, perkara pertama pastikan mereka selamat dan ada makanan, jangan kata kalau tak duduk PPS tak dapat bantuan,” katanya.

Jelasnya, setiap pihak mempunyai peranan untuk membantu dalam keadaan seperti ini dan harus bekerjasama.

“Jika nampak ada sekolah kosong, lebih baik di sekolah daripada dewan yang sempit untuk jadi PPS.

“Itulah tugas pengurusan banjir yang perlu tengok keseluruhan, paling penting jangan politikkan isu banjir ini,” katanya.

‘Perbalahan’ antara kerajaan negeri Selangor dan pengurusan MKN negeri tercetus apabila Amirudin dalam satu sidang media berkata, beliau telah menerima panggilan daripada MKN untuk mempengerusikan MKN Negeri Selangor ekoran bencana banjir di negeri itu.

Dakwa Amirudin, jika pihaknya mengetahui mesyurat itu lebih awal, perkara itu sudah dilakukan lebih cepat dan akan mengumpulkan semua pihak termasuk pembangkang.

BBerkaitan

Latest articles