Tapah — Perikatan Nasional (PN) gagal mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan kononnya terdapat lambakan ladang babi tidak terkawal di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada isu tersebut sekadar dijadikan modal politik menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.
Dalam sidang media khas yang diumumkan lebih awal sebagai pendedahan ‘tergempar’, PN hanya menampilkan isu pencemaran sungai dari ladang babi di Kampung Poh – sebuah kawasan yang berada di sempadan DUN Ayer Kuning – tanpa menunjukkan bukti wujudnya ladang-ladang baru atau haram seperti yang didakwa sebelum ini.
“Tunggu dan lihat… Kita nak bagi suspen,” ujar Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad secara sinis ketika ditanya mengenai bukti tambahan yang dikatakan akan didedahkan PN.
@therakyatinsight Tiada lambakan ladang b4bi haram di Air Kuning #ayerkuning #tapah #ladang
Menurut Idris, aliran air dari Kampung Poh mengalir masuk ke Ayer Kuning, yang menurut beliau menjadi sumber air dan lokasi rekreasi bagi penduduk setempat. Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai status lesen ladang terbabit, beliau mengakui pihaknya tidak mempunyai maklumat tersebut dan menyerahkan perkara itu kepada kerajaan negeri.
Sementara itu, Kerajaan Negeri Perak menafikan sekeras-kerasnya dakwaan PN bahawa terdapat ladang babi haram beroperasi berhampiran penempatan majoriti Melayu Islam seperti di Kampung Tanjung Keramat.
Exco Kesihatan dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan berkata dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini bahawa kesemua 85 ladang babi di Perak mempunyai lesen sah dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
“Di Ayer Kuning, hanya terdapat sembilan ladang babi. Tiga daripadanya telah diluluskan untuk menggunakan sistem penternakan moden, manakala enam lagi sedang dalam proses mendapatkan kelulusan tersebut,” jelas beliau.
Sivanesan turut menjelaskan bahawa ladang-ladang tersebut terletak sejauh kira-kira tiga kilometer dari penempatan dan 2.57 kilometer dari masjid, melepasi syarat zon penampan yang ditetapkan.
Pemerhati politik melihat kegagalan PN mengemukakan bukti baharu sebagai tamparan kepada kempen mereka, yang dilihat cuba membangkitkan sentimen perkauman dan agama menjelang hari pengundian.