Isu Ambalat : Kedutaan Indonesia Di Malaysia Dedah Cerita Sebenar

Tindakan para kumpulan mereka yang terdesak untuk membangkitkan suasana tidak selesa kepada rakyat terutamanya pihak berkepentingan politik tidak pernah terhenti dan kini semakin rancak

Antara isu yang kini diputarkan kembali adalah mengenai isu perjanjian sempadan laut yang dimeterai oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Indonesia Joko Widodo tempoh hari.

Malahan bekas anggota kabinet yang kini Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee juga baru-baru ini turut meminta kerajan menjawab sejauh mana Triti Laut Sulawesi yang ditandatangani Perdana Menteri dan turut meminta agar dokumen berkenaan dinyahklasifikasikan sedangkan sebagai bekas anggota kabinet dan Timb Speaker Dewan Rakyat beliau tahu mengenai tatacara kerajaan di dalam menyahklasifikasikan sesuatu dokumen lebih-lebih lagi perkara ini membabitkan dua Negara yang berjiran.

Justeru kami siarkan semula artikel yang diterbitkan portal Berita Harian ini mengenai temubual bersama Kedutaan Indonesia pada 27 Jun lalu.

Triti Laut Sulawesi tidak babitkan Blok Ambalat
Kedutaan Indonesia di Malaysia mengesahkan, perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia dikenali sebagai Triti Laut Sulawesi, yang ditandatangani pemimpin kedua-dua negara pada 8 Jun lalu, tidak membabitkan kawasan pertikaian dikenali sebagai Blok Ambalat.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono, mengakui rundingan berkaitan sempadan membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai Blok Ambalat itu, mengambil masa lebih lama kerana perlu dilakukan secara berhati-hati.

Beliau berkata, walaupun ada keperluan untuk isu itu diselesaikan secepat mungkin, namun pasukan rundingan pastinya lebih tahu apa yang perlu dilakukan.
“Semuanya perlulah, namun kita sudah ada pasukan perunding. Mereka tahu apa yang perlu dilakukan.

“Rundingan berkaitan sempadan selalu lama kerana perlu berhati-hati,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung status Triti Laut Sulawesi yang dimeterai Malaysia dan Indonesia ketika kunjungan Presidennya, Joko Widodo, ke negara ini pada 8 Jun lalu.

Hermono berkata, proses penetapan ‘pentas benua’ (continental shelf) di perairan Ambalat belum lagi dibincangkan sehingga kini.

Namun katanya, kedua-dua negara sudah menyatakan matlamat bagi mempercepatkan penyelesaian semua isu sempadan yang masih ada.

“Ketika sidang media bersama antara Presiden Indonesia, Joko Widowo dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah memaklumkan komitmen mereka untuk mempercepatkan penyelesaian semua isu sempadan yang masih ada.

“Namun rundingan isu sempadan perlu sangat berhati-hati,” katanya.

Hermono berpandangan kerajaan Malaysia tidak perlu melayan tindakan sesetengah pihak yang sengaja membuat bising berhubung isu Blok Ambalat.

Sejak perjanjian sempadan maritim dengan Indonesia ditandatangani, beberapa pihak khususnya pembangkang mempersoalkan sama ada kerajaan melakukannya di sebalik nasihat pakar maritim.

Antaranya, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggesa Perdana Menteri memberi penjelasan berhubung perjanjian itu kerana mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatanganinya walaupun pakar maritim menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.

“Pakar maritim memberitahu jangan sain (tandatangan), tapi dia sain juga. Dalam soal ini tidak boleh buat keputusan dengan mudah, yang boleh menyebabkan kawasan negara kita diambil oleh orang lain,” kata Muhyiddin pada 11 Jun lalu.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut meminta Perdana Menteri dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir memberi penjelasan terperinci berhubung isu Blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim berkenaan.
Saifuddin dilaporkan berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci mengenai isu Ambalat supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

Sabtu lalu, Anwar mengulangi beliau tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang dirujuk sebagai Blok Ambalat di Laut Sulawesi, sekali gus menafikan dakwaan ia sudah ditandatangani.

Perdana Menteri juga mengingatkan semua pihak supaya merujuk kepada fakta sebelum bercakap mengenai Triti Laut Sulawesi.

Anwar juga menjelaskan, perjanjian maritim itu ditandatanganinya selepas dipersetujui dan mendapat nasihat daripada pihak berautoriti, termasuk Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan.

Perdana Menteri juga berkata, dakwaan kononnya perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang ditandatangani beliau dan Jokowi itu membabitkan blok perairan yang dipertikaikan adalah fitnah dan tidak benar.

Ambalat ialah blok lautan di Laut Sulawesi seluas kira-kira 15,235 kilometer persegi yang kaya dengan minyak mentah dan gas asli.

Mengikut laporan, pemilikannya menjadi pertikaian di antara Malaysia dan Indonesia sejak awal 2005 susulan perselisihan peta yang digunakan.
Indonesia menggunakan peta Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE), manakala Malaysia menggunakan peta rasmi 1979.

BBerkaitan

Latest articles