SHAH ALAM: Penduduk di Jalan Papan, Pandamaran yang terkesan dengan perobohan rumah bakal menerima unit kediaman mampu milik yang akan dibangunkan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), sekali gus memberi sinar baharu kepada isu berlarutan lebih dua dekad itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, persetujuan dicapai pada mesyuarat semalam selepas pemaju bersetuju menyerahkan 2.83 hektar tanah kepada kerajaan negeri bagi melaksanakan pembangunan menyeluruh untuk penempatan semula peneroka bandar berkenaan.
Buat sementara waktu, katanya, penduduk boleh ditempatkan di rumah Skim Smart Sewa, dan pihak kerajaan sedia berbincang jika terdapat kekangan kewangan.
Amirudin mengakui kesal kerana isu tersebut berlarutan terlalu lama, termasuk beberapa rundingan sebelum ini yang gagal akibat tiada persetujuan antara penduduk dan pemaju.
Keadaan bertambah rumit apabila kes diteruskan di mahkamah yang akhirnya memutuskan tanah terbabit secara sah milik pemaju.
“Kerajaan negeri berperanan sebagai orang tengah dan telah mencuba banyak kali untuk mencari titik penyelesaian, namun usaha itu tidak berhasil sebelum ini,” katanya ketika sidang media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Undangan Negeri.
Terdahulu, Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri, Borhan Aman Shah memaklumkan bahawa pemaju Melati Ehsan Consolidated Sdn Bhd (MECSB) telah bersetuju menyerahkan 2.8 hektar tanah kepada kerajaan negeri.
Pada 11 November lalu, kerajaan negeri turut mengeluarkan surat rasmi kepada MECSB bagi mengesahkan komitmen penyerahan tanah seluas 3.2 hektar seperti dipersetujui dalam mesyuarat terdahulu.
Isu itu memuncak sebelum ini apabila kerja perobohan di Kampung Papan mencetuskan ketegangan melibatkan beberapa individu yang mendakwa sebagai penduduk.
Sidang DUN Selangor akan bersambung pada 17 November.










