Isteri pinang sendiri pegawai polis untuk Sanusi

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengesahan dia sudah berpoligami dan majlis itu berjalan dengan lancar hasil usaha yang diambil isteri pertamanya.

Menceritakan pernikahan itu, Sanusi berkata semuanya berjalan dengan baik dan proses tersebut bermula beberapa bulan sebelum ini melalui inisiatif Jusmalailani Jusoh.

Malah katanya, setiap proses tersebut dibuat mengikut peraturan.

“Saya (nak maklumkan saya sudah) kahwin dengan polis, isteri saya pergi meminang… pinangan itu dibuat oleh isteri saya, berbulan (bulan) dahulu.

“Alhamdulillah (majlis berlangsung dengan) sempurna, teratur dan beres.

“(Pada) hari pinangan (dan) hari perkahwinan, isteri (pertama) saya ada (bersama), anak-anak saya (juga) hadir, semua proses yang kena buat untuk (perkahwinan) itu semua dipatuhi, jadi tidak ada isu,” katanya dipetik Astro Awani di Kuala Nerang hari ini.

Sebelum ini tular dakwaan Sanusi mengahwini seorang pegawai polis sebagai isteri kedua namun berita tersebut tidak disahkan oleh sesiapa.

Sebaliknya Sanusi sekadar berkias-kias sedikit apabila ditanya mengenai status rumah tangganya.

Bercakap kepada media hari ini, Adun Jeneri itu berkata, pada awalnya dia enggan membuka mulut mengenai isu berkenaan kerana tidak mahu ia disensasikan.

Bagaimanapun, kata Sanusi, selepas berasa “kasihan” melihat wartawan mencari pengesahan, dia akhirnya membuka mulut untuk mengesahkan pernikahan tersebut.

“Jadi (apabila) hangpa ligan (kejar), saya pun kesian tengok hangpa, saya pun maklum (hari ini).

“Saya rasa tak ada isu apa, saya ada kuota dua lagi,” katanya bergurau.

BBerkaitan

Latest articles