KUALA LUMPUR: Isteri kepada Pengarah Eksekutif Kumpulan Maju Holdings Sdn. Bhd., Tan Sri Abu Sahid Mohamed, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas tuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram bernilai lebih RM67 juta.
Tertuduh, Puan Seri Noor Azrina Mohd. Azmi, 48, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut kertas pertuduhan, beliau didakwa menerima wang berjumlah RM67,136,588.43 melalui akaun bank miliknya, yang dipindahkan daripada akaun milik Abu Sahid.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 6 Mac hingga 27 November 2017 di CIMB Bank, cawangan Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan penyerahan pasport tertuduh.
Cadangan itu dipersetujui peguam bela, Abdul Hakeem Aiman, yang menyifatkan jumlah tersebut adil dan wajar kerana tertuduh telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin, selain pasport Noor Azrina diserahkan kepada mahkamah. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 3 November ini.
Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset bernilai kira-kira RM32 juta, termasuk tas tangan mewah, barangan kemas, jam tangan, kenderaan mewah dan wang tunai, dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri, susulan siasatan berhubung projek lebuh raya di Lembah Klang.