KUALA LUMPUR: Bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukumannya sebagai tahanan di rumah.
Perkara itu disahkan menerusi dokumen asal daripada Majlis Kesultanan Pahang yang ditunjukkan oleh peguam Najib, Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah di mahkamah, pagi ini.
Surat berkenaan yang bertarikh 29 Januari 2024 ditujukan kepada anak Najib, iaitu Datuk Mohd Nizar Najib, pada 4 Januari lalu, sekaligus mengesahkan wujudnya titah adendum terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani perintah tahanan di rumah.
Muhammad Shafee memaklumkan, surat tersebut ditandatangani oleh Pengelola Bijaya Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Abdul Rahman yang mewakili Al-Sultan Abdullah dan dihantar kepada Mohd Nizar.
Menurutnya, Mohd Nizar telah dihubungi Istana Pahang pada 2 Dis tahun lalu, memaklumkan mengenai kewujudan perintah tambahan diraja atau titah adendum bagi membenarkan Najib menjalani baki tahanan rumah.