KUALA LUMPUR: Perkahwinan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin di Narathiwat, Thailand sekitar Jun 2016 dikenal pasti sebagai punca utama kepada percanggahan nama bapa dalam dokumen rasmi kanak-kanak autistik itu.
Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan ke-28, Asisten Superintenden Mohd Hafizee Ismail, dalam perbicaraan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. hari ini.
Menurut Mohd Hafizee, siasatan mendapati pasangan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf hanya mendaftarkan perkahwinan mereka di Malaysia selepas beberapa ketika, menyebabkan ketidaksepadanan maklumat dalam dokumen rasmi anak mereka.
“Nama si mati dalam dokumen tidak konsisten. Dalam satu dokumen dia didaftarkan sebagai Zayn Rayyan bin Abu Matin, manakala pada sijil kelahiran pula, nama bapanya tertera sebagai Zaim Ikhwan bin Zahari.
“Siasatan kami mendapati perbezaan ini berpunca daripada pendaftaran perkahwinan yang dibuat lewat di Malaysia selepas mereka bernikah di Thailand,” katanya di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.
Mohd Hafizee, yang sebelum ini bertugas sebagai pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, turut mengesahkan bahawa Zayn adalah seorang kanak-kanak istimewa yang disahkan menghidap speech delay autism, berdasarkan laporan perubatan dari Hospital Selayang dan Hospital Sungai Buloh.
Difahamkan juga, Zayn telah beberapa kali dirujuk ke hospital, termasuk semasa tempoh pandemik Covid-19.
Dalam keterangannya, Mohd Hafizee turut menyebut tentang Auni Afiqah Abas, pengasuh yang menjaga Zayn dan adiknya secara rutin.
Menurutnya, pada hari kejadian, 5 Disember 2023, Auni memaklumkan bahawa Zayn tidak dihantar ke rumahnya seperti biasa.
Lebih mengejutkan, Auni turut mendakwa terdengar suara menyerupai Zayn di antara Blok R dan Blok S berhampiran kediaman mangsa, seolah-olah sedang meronta dan cuba melepaskan diri daripada seseorang.
“Saya bawa dia ke lokasi yang disebutkan tetapi dia tidak dapat pastikan dengan tepat dari mana suara itu datang,” ujar Mohd Hafizee.
Tambahnya lagi, siasatan termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar kawasan juga telah dilakukan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas tentang insiden tersebut.
Pada 13 Jun tahun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan, yang berusia enam tahun, dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal terhadap mangsa.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.
Bedah siasat mengesahkan mangsa mengalami kecederaan pada leher dan badan, dipercayai akibat cuba mempertahankan diri sebelum dibunuh.