KUALA LUMPUR: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Zaim Ikhwan membuat laporan polis selepas menerima pautan video TikTok melalui WhatsApp, pada 6 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, video berdurasi seminit itu menunjukkan Ismanira Abdul Manaf berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya iaitu Allahyarham Zayn Rayyan dan adiknya, Mateen, 6, menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.
Menjelaskan di dalam laporan polis itu, Ismanira mendakwa individu tidak dikenali ini merakam video berkenaan dari Blok Apartmen Idaman yang berdepan dengan Blok R serta rakaman dibuat dari ketinggian yang menunjukkan perakam kemungkinan besar salah seorang penghuni di salah satu tingkat atas blok tersebut.
Mohd Hafiz berkata, pengadu membuat laporan itu kerana merasakan keselamatannya serta keluarga berada dalam keadaan terancam.
Pengadu juga percaya ini bukan satu kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman itu dibuat, anak pengadu, Zayn Rayyan telah ditemui mati dengan jarak lebih kurang 200 meter dari lokasi video berkenaan dirakam.
Menurut Mohd Hafiz dalam pada itu memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan dan mengelirukan masyarakat.