KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini memerintahkan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, kanak-kanak autisme berusia enam tahun, untuk membela diri atas pertuduhan mengabaikan anaknya sehingga boleh menyebabkan kecederaan fizikal.
Bagaimanapun, mahkamah membebaskan bapa mangsa, Zaim Ikhwan Zahari, daripada pertuduhan sama selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Keputusan itu diumumkan oleh Hakim Syahliza Warnoh selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini.
“Pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh pertama (Ismanira Abdul Manaf), namun tidak terhadap tertuduh kedua (Zaim Ikhwan),” kata hakim.
Susulan keputusan tersebut, Ismanira Abdul Manaf, 30, yang kini menjadi tertuduh tunggal dalam kes tersebut, memilih untuk memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi, iaitu salah satu daripada tiga pilihan yang diberikan mahkamah.
Terdahulu, suasana mahkamah menjadi hiba apabila beberapa ahli keluarga dilihat memeluk Ismanira yang menangis sejurus mahkamah direhatkan sebentar sebelum perbicaraan disambung.
Ismanira dan suaminya sebelum ini didakwa atas kesalahan mengabaikan Zayn Rayyan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal antara 5 Disember hingga 6 Disember 2023, iaitu tempoh mangsa dilaporkan hilang dan ditemui meninggal dunia di sungai berhampiran kediaman mereka di Apartment Idaman, Damansara Damai.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda maksimum RM50,000, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, Aqharie Durranie Aziz, dan Nur Sabrina Zubairi.
Manakala pasangan suami isteri itu diwakili pasukan peguam Haresh Mahadevan, Ramzani Idris, dan Lavanesh Haresh.