PETALING JAYA: Selepas suaminya dibebaskan daripada tuduhan pengabaian, tumpuan kini beralih kepada Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin, yang hari ini mula memberi keterangan membela diri di Mahkamah Sesyen.
Ismanira, 30, tampil memberikan keterangan bersumpah dari kandang tertuduh selepas Hakim Dr. Syahliza Warnoh memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Dalam keterangannya, Ismanira menafikan dakwaan seorang saksi pendakwaan, Inspektor Nina Syamimi Syamsuddin, yang menyifatkan riak wajahnya sebagai “kosong” ketika siasatan awal dijalankan.
“Anak saya hilang. Saya sangat tertekan ketika itu. Saya cuma fikirkan di mana Zayn. Saya beri kerjasama penuh kepada polis pada malam kejadian,” katanya dalam sebak.
Menurut Ismanira, pada 5 Disember 2023, dia membawa Zayn, yang merupakan anak autisme, bermain di taman permainan seperti biasa sebelum mereka pulang ke rumah.
Namun dalam perjalanan naik ke rumah, anaknya tiba-tiba hilang daripada pandangan.
“Saya dengar tapak kasut Zayn ikut dari belakang. Tapi tiba-tiba bunyi tu hilang. Saya turun cari di taman, dalam rumah, setiap bilik. Tapi dia tiada,” jelasnya.
Ismanira turut menyatakan bahawa ketika itu dia sedang memegang beg sekolah Zayn dan beberapa barang dapur yang dibelinya untuk memasak spaghetti bolognese, makanan kegemaran anaknya.
Mayat Zayn ditemui dalam anak sungai kira-kira 200 meter dari rumah mereka di Damansara Damai, pada jam 10 malam, 6 Disember 2023, sehari selepas dilaporkan hilang
Sementara itu, peguam bela Ismanira, Haresh Mahadevan, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil lima saksi, termasuk suami Ismanira, Zaim Ikhwan Zahari, yang telah dilepas dan dibebaskan . pertuduhan sebelum ini.
Perbicaraan dijadualkan bersambung sehingga Khamis ini.