ALOR GAJAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak menolak bakal ada kerajaan campuran sekiranya tidak ada parti yang menang majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ismail Sabri berkata, kerajaan campuran diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya Parlimen tergantung.
“Kalau tidak ada satu parti yang mempunyai ‘simple majority’ (majoriti mudah), tentu saja memerlukan kerajaan campuran, kalau tidak Parlimen akan tergantung.
“Sebab itulah kita pun tak tahu lagi ada ke tidak parti yang mempunyai simple majority, tetapi memang saya setuju kalau ada parti yang mempunyai simple majority secara sendiri, memang kena ‘coalition’ (gabungan), kena ada kerajaan campuran,” katanya.
Beliu berkata demikian selepas melakukan tinjauan mesra di Pekan Durian Tunggal, di sini petang ini.
Sementara itu, ditanya mengenai wujud kerjasama dengan PKR bagi membentuk kerajaan selepas PRU-15, beliau berkata, keputusan itu akan dibuat oleh parti dan bukannya individu.
“Itu keputusan besar, sebab parti yang memutuskan, tak boleh individu yang buat keputusan sama ada nak PKR ke, nak Perikatan (Nasional) ke, nak PH ke, parti yang buat keputusan,” katanya.