BERA: Perdana Menteri, Datuk SeriIsmail Sabri , berkata bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menghentikan proses Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), sekiranya berlaku banjir luar biasa.
“Kalau berlaku banjir yang besar sehingga tak membolehkan orang nak keluar dan sebagainya, maka saya kena berbincang dengan pihak SPR jika ada alternatif lain.
“Mungkin tak ada lagi menteri-menteri yang terlibat kerana kerajaan ‘caretaker’ maka mungkin saya akan panggil semua Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk bincang langkah terbaik untuk diambil bagi berdepan situasi banjir besar jika ia berlaku,” katanya ketika sidang media selepas program kenduri rakyat di Kemayan pada Ahad.
Perdana Menteri berkata demikian mengulas berkenaan kenyataan Met Malaysia bahawa Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku lebih awal daripada jangkaan sebelum ini.
Pada 3 November lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan monsun timur laut (MTL) akan berlaku lebih awal dari jangkaan, ketika negara bersiap sedia menghadapi PRU15.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sehingga kini kerajaan telah membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi kejadian banjir buruk terutama di Pahang.
“Kita telah memberi tumpuan untuk persediaan banjir, sama ada dari segi pusat pemindahan banjir dan penambahbaikan kawasan pemindahan mangsa banjir yang jadi hotspot banjir.
“Kita telah arahkan kawasan tersebut menyediakan kelengkapan lengkap, bilik air dan fasiliti selengkapnya,” katanya
Tambah beliau, di Bera sendiri, pusat pemindahan mangsa banjir telah dibuka sejak Oktober tahun lalu dan telah bersedia dengan segala kemungkinan.