Ismail Sabri Masih Dibuai Sayang Terhadap Muhyiddin, Abdul Hadi

KUALA LUMPUR: Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob didakwa masih punya perasaan terhadap rakan-rakan Perikatan Nasional (PN), apatah lagi pernah menjadi Perdana Menteri melalui ‘hubungan mesra’ itu.

Menjelaskan hal itu Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed juga percaya Ismail Sabri juga berasa kecewa ketika ini apabila tidak dapat menerima kenyataan usaha yang beliau buat semasa menjadi Perdana Menteri untuk menubuhkan kerajaan dengan PAS dan Bersatu tidak kesampaian.

Atas sebab itulah, Nur Jazlan juga mendakwa Ismail Sabri masih dibuai dengan naratif klasik punca kemerosotan UMNO.

“Pak Mail masih teramat sayangkan (Tan Sri) Muhyiddin dan (Tan Sri Abdul) Hadi biar pun dia sendiri adalah mangsa kepada permainan politik dua pemimpin parti dalam PN itu.

“Sudahlah sepanjang jadi Perdana Menteri dia asyik kena ugut dengan Muhyiddin dan terpaksa buat perjanjian politik sulit dengan Bersatu semata-mata dia selamat di kerusi PM itu,” dakwa Nur Jazlan.

Nur Jazlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Pulai itu turut mengkritik Ismail Sabri yang tidak pula mengambil peluang berbakti kepada parti selepas tidak lagi memegang jawatan PM, sedangkan beliau diharapkan dapat memberikan idea bernas kepada parti seperti mana UMNO banyak membantu beliau sehingga berada di puncak kuasa.

Sementara itu, Nur Jazlan turut mendakwa Ismail Sabri sebagai punca kemerosotan sokongan terhadap UMNO.

Beliau yang ketika itu adalah Perdana Menteri tidak menghiraukan kehendak dan pandangan pucuk pimpinan parti supaya membubarkan Parlimen selepas kemenangan besar UMNO pada PRN Johor.

“Masa itu pimpinan dan ahli akar umbi yakin sokongan terhadap UMNO tengah meningkat dan masa itu adalah yang terbaik untul PRU15.

“Tapi Pak Mail ketepikan pandangan orang parti sendiri dan pilih untuk tangguhkan bubar Parlimen serta beri ruang masa kepada Bersatu dan Pas untuk bersiap sedia dulu.

“Natijahnya, UMNO kalah teruk pada PRU15 dan sokongan orang Melayu semakin merudum sehingga kepada PRN baru-baru ini,” katanya.

Baru-baru ini Ismail Sabri dilaporkan berkata, antara punca penolakan pengundi Melayu apabila mereka mentafsirkan UMNO telah menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, salah satu buktinya apabila kepimpinan UMNO memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah.

BBerkaitan

Latest articles