Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merupakan pemimpin UMNO yang memenuhi semua kriteria serta layak untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri yang kesembilan.
Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, Alhamdulillah UMNO yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencapai kata sepakat menyokong Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri kesembilan.
Menurutnya, beliau bersyukur kerana berpeluang berkhidmat bersama Ismail Sabri apabila turut menjadi ahli kabinet dalam kerajaan yang lalu dan juga berjuang bersama sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO.
“Banyak episod suka duka dan cabaran yang dilalui bersama. Sertai politik lebih 35 tahun, susuk ini bukan asing bagi saya dan ahli UMNO, yang mana pernah satu ketika dahulu dilihat antara pemimpin muda yang bakal memimpin negara satu ketika nanti.
“Seorang anak kampung dari Bera dan sangat menjiwai masyarakat luar bandar. Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, beliau mengemudi Kementerian Luar Bandar dan Wilayah. Pencapaiannya di kementerian itu adalah sesuatu yang perlu diiktiraf,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Rahman berkata, ketika Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN), beliau diberikan peranan Menteri Penyelaras Covid-19 serta menjadi jurucakap kerajaan.
“Nama beliau (Ismail Sabri) mula melonjak dan diberikan tumpuan oleh rakyat. Beliau cukup matang bertindak dalam menghadapi krisis.
“Tidak ada rakyat tidak mengenalinya sehingga dikenali dengan jolokan Pak Long Mail, malah, kanak-kanak turut mengenalinya sebagai Atok Mail. Begitu hebat sekali seorang pemimpin yang berjiwa rakyat sehingga dapat dirasai oleh seluruh rakyat negara ini.
“Berpengalaman luas sebagai anggota kabinet apabila menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 2008, kemudian pada 2009 dilantik sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, pada 2013 sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, kemudian pada 2015 sebagai Menteri di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah,” katanya.
Jelasnya, dalam kerajaan PN sebelum ini, rakyat dapat melihat betapa jauh jurang perbezaan kualiti dan krebiliti Ismail Sabri seorang menteri UMNO dengan menteri daripada kerajaan sebelumnya.
“Ismail Sabri berjaya merakyatkan kepemimpinannya berkeperibadian tinggi, dan sangat berkredibiliti.
“Terima kasih Pak Long Mail kerana cemerlang dalam pentadbiran yang lalu dan secara tidak langsung rakyat turut merindui zaman pemerintahan UMNO/Barisan Nasional (BN) dan serba sedikit mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti keramat ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE