Kuala Lumpur : Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli kerana memberi penjelasan yang sekali gus membersihkan namanya daripada fitnah kononnya terlibat dalam insiden serangan terhadap anak lelaki tunggal Rafizi.
Ismail Sabri berkata, meskipun penjelasan itu membantu menjernihkan keadaan, beliau tetap mengambil tindakan undang-undang dengan membuat laporan polis dan laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak Facebook.
“Terima kasih Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Rafizi Ramli atas penjelasan beliau hari ini,” katanya dalam satu kenyataan media, Rabu.
Menurut beliau, pada 18 Ogos lalu, Setiausaha Akhbarnya telah membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel berunsur fitnah, yang cuba mengaitkannya dengan kejadian menimpa anak Rafizi serta skandal membabitkan sebuah syarikat swasta .
“Satu laporan juga telah dibuat kepada MCMC dan Facebook supaya tindakan segera diambil terhadap laman serta pengendali atau pemiliknya. Keseluruhan kandungan artikel tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi serta nama baik saya,” jelasnya.
Beliau turut menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan tegas terhadap pemilik atau pengendali akaun terbabit, selain mana-mana pihak lain yang menyebarkan artikel berkenaan.
“Saya juga telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang selanjutnya terhadap pihak terbabit,” tegas Ismail Sabri.