Ismail Sabri Hargai Komitmen Anwar Teruskan Inisiatif Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia menerusi Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, inisiatif yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini adalah sebahagian daripada aspirasi bajet kerajaan pimpinannya sebelum ini yang dibentangkan pada 7 Oktober lalu dengan fokus kepada kesejahteraan rakyat dan kemakmuran ekonomi negara.

“Ia turut mengambil kira semua aspek, khususnya untuk membela golongan B40 dan sebagai persediaan bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang diramal pada tahun depan.

“Malah kerajaan terdahulu juga berusaha sedaya upaya memastikan kos sara hidup rakyat tidak melambung tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Antara inisiatif dalam bajet mini diumumkan Anwar hari ini ialah bantuan awal persekolahan, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), bantuan musim tengkujuh, kenaikan gaji tahunan tambahan khas 2023 dan bantuan khas kewangan untuk kakitangan awam serta menyediakan 50,000 peluang pekerjaan.

Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan Keluarga Malaysia tidak menaikkan tarif elektrik di Semenanjung dengan menanggung kos RM5.8 bilion, selain subsidi RM1.2 bilion kepada penternak untuk tidak menaikkan harga ayam serta telur adalah antara usaha bagi meringankan beban rakyat.

“Justeru, sekali lagi saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana meneruskan aspirasi Keluarga Malaysia dan berharap nasib rakyat akan terus terbela,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bera.

Dewan Rakyat hari ini sebulat suara meluluskan Bajet Mini 2023 dan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang dibentangkan Anwar merangkap Menteri Kewangan.

Keputusan itu dimaklumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul selepas tiada perbahasan bagi kedua-dua usul yang dibentangkan Perdana Menteri pada mesyuarat pertama Majlis Parlimen Ke-15 itu.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan membentangkan bajet mini bagi tujuan perbelanjaan perkhidmatan, membabitkan wang bernilai RM107,718,676,650.

Beliau membentangkan peruntukan itu di bawah Akta Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang akan mula berkuat kuasa pada 1 Januari depan.

Dalam pembentangannya, Perdana Menteri turut mengumumkan beberapa bantuan bagi meminimumkan impak kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung rakyat.

BBerkaitan

Latest articles