KUALA LUMPUR: Sesi merakam keterangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada hari kedua di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai pada jam 5.45 petang tadi.
Kenderaan yang dinaiki beliau keluar dari bangunan SPRM, selepas enam jam Ahli Parlimen Bera itu diminta memberikan keterangan.
Memetik FMT, Ismail Sabri dijangka dipanggil lagi untuk memberi keterangan pada Isnin.
Pagi tadi Ismail Sabri hadir jam 8.45 pagi bagi dirakam keterangan, kemudian keluar pada 12.30 tengah hari untuk menunaikan solat Jumaat.
Beliau kembali pada 3.25 petang tadi untuk menyambung sesi berkenaan.
Semalam, Ismail turut berada hampir enam jam di ibu pejabat SRM bagi rakaman keterangan.
Proses merakam keterangan tertangguh dua kali sebelum ini, iaitu pada 5 Mac dan 7 Mac, kerana masih mendapat cuti sakit.
Ismail semalam berkata beliau akan beri kerjasama sehingga siasatan membabitkannya selesai.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan keterangan Ismail diambil bagi siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram, berkait empat pegawai kanannya yang telah ditahan.
Terdahulu, SPRM mendedahkan kira-kira RM170 juta wang tunai dan 16kg jongkong emas bernilai jutaan ringgit dirampas dalam serbuan di kediaman empat pegawai berkenaan serta tiga premis lain dipercayai sebagai ‘safe house’.