Islamkan Individu: Tiada Halangan Untuk PM Berbuat Demikian

KUALA LUMPUR: Tak sepatutnya Perdana Menteri yang beragama Islam dan sebagai ketua dalam negara yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi dihalang untuk mengislamkan seseorang individu.

Itu reaksi bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung kritikan yanh dilemparkan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana bertindak mengislamkan seorang mualaf baru-baru ini.

Ada pihak tertentu mendakwa bahawa ia bukan kerja Perdana Menteri.

Dalam pada itu Zulkifli menambah, tegahan juga janggal kerana Perdana Menteri dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Malah Perdana Menteri juga mendapat nasihat daripada Mufti Wilayah Persekutuan dari sudut Hukum Syarak dan nasihat daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dari sudut tadbir urus hal ehwal Islam.

“Maka, hujah untuk menyatakan ‘ia bukan kerja Perdana Menteri’ adalah tertolak sama sekali,” kata bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Zulkifli menyediakan jawapan berhubung isu tersebut selepas dihubungi oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin untuk mendapatkan penjelasan berkenaan bagi rancangan Keluar Sekejap.

Zulkifli berkata, melalui Riwayat al-Bukhari (1496) dan Muslim (19), mengislamkan seorang merupakan pekerjaan mulia kerana ia juga merupakan pekerjaan para nabi dan rasul iaitu membawa manusia ke jalan hidayah.

“Saya dimaklumkan, pengislaman yang dilakukan oleh YAB Perdana Menteri adalah permintaan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Klang, Tuan Haji Hushim Salleh.

“Apabila ada permintaan, tidak wajar ia ditangguhkan malah berdosa hukumnya jika dilewat-lewatkan,” katanya.

Zulkifli melahirkan sokongan sekiranya ada pemimpin negara atau negeri mengislamkan mereka yang ingin memeluk Islam dengan sukarela tanpa sebarang paksaan.

Katanya, bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah melakukannya pada tahun 1973.

Tun Dr. Mahathir Mohamad juga pernah beberapa kali mengislamkan saudara baharu semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri (1978) mahupun selepas beliau bersara (2022).

Zulkifli bagaimanapun mengingatkan bahawa sejak awal zaman Islam, Rasulullah SAW tidak pernah memaksa mana-mana bukan Muslim untuk memeluk agama Islam.

Para sahabat yang memeluk Islam, menganutnya atas kehendak hati mereka tanpa ada sedikit pun paksaan.

Ini kerana pemaksaan bertentangan dengan prinsip dasar Islam sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah dalam Surah al-Baqarah: 256 yang bermaksud, “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur).”

BBerkaitan

Latest articles