Islamic Tourism Centre Umum Faizal Khan Sebagai Ketua Pengarah Baharu

PUTRAJAYA, — Islamic Tourism Centre (ITC) hari ini mengumumkan pelantikan Encik Mohammad Faisal bin Abu Suaib Khan sebagai Ketua Pengarah baharu berkuat kuasa 19 Januari 2026.

ITC dalam kenyataan memaklumkan Mohammad Faisal memiliki lebih 15 tahun pengalaman profesional dalam bidang komunikasi korporat dan digital, dengan tumpuan kepada sektor pelancongan, pengurusan acara serta inisiatif berasaskan destinasi .

Menurut kenyataan itu, beliau pernah terlibat secara langsung dengan syarikat-syarikat pelancongan tempatan termasuk pengurusan acara pelancongan serta program Malaysia My Second Home (MM2H), sekali gus memberinya kefahaman mendalam terhadap ekosistem pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Dengan latar belakang korporat dan perniagaan yang kukuh, beliau diamanahkan untuk menerajui ITC ke fasa pertumbuhan seterusnya melalui inisiatif transformasi yang memanfaatkan perkembangan pesat pasaran pelancong Muslim global, yang diunjurkan mencecah nilai USD235 bilion menjelang 2030,” menurut kenyataan itu lagi .

Mengulas pelantikannya, Mohammad Faisal berkata fokus beliau adalah untuk memperkukuh peranan ITC sebagai pemangkin utama dalam mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab umrah serantau, di samping memperluaskan capaian global inisiatif Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) di pasaran utama.

“Saya menantikan kerjasama erat dengan pemain industri pelancongan serta rakan strategik bagi membina kepercayaan dan menjana nilai jangka panjang kepada ekonomi negara,” katanya .

Beliau turut aktif dalam wacana serantau dan antarabangsa, termasuk penyertaan dalam Dialog Inovasi Imej Antarabangsa di Beijing, China pada 2024 yang menghimpunkan pemimpin media dan komunikasi dari 25 negara.

Mohammad Faisal yang merupakan lepasan sistem sekolah Cina di Malaysia fasih berbahasa Mandarin, satu kelebihan yang menyokong penglibatan profesional serta usaha pembinaan hubungan di China.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Tun Abdul Razak dan kini sedang melanjutkan pengajian Doktor Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Universiti Utara Malaysia.

ITC merupakan agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang bertanggungjawab membangunkan segmen pelancongan Islam dan memacu kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH).

BBerkaitan

Latest articles