KUALA LUMPUR: Dakwaan mengejutkan kononnya seorang Ahli Parlimen PKR meminta bayaran sehingga RM10 juta bagi menyelesaikan kes korporat mencetuskan persoalan besar mengenai ketelusan pengurusan kontrak kerajaan.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil mempersoalkan identiti individu terbabit sambil menegaskan perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana didakwa melibatkan agensi penguatkuasaan serta projek kerajaan bernilai berbilion ringgit.
Isu itu timbul susulan pendedahan ahli perniagaan, Victor Chin yang mendakwa telah menyerahkan RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR bagi membantunya menyelesaikan masalah berkaitan skandal ‘mafia korporat’.
Menurut Victor, dakwaan tersebut diperincikan dalam dokumen setebal 40 muka surat yang turut menyentuh kronologi kes melibatkan NexG Berhad.
Mengulas lanjut, Isham mendakwa kes itu mempunyai kaitan dengan beberapa agensi penguatkuasaan dan pencegahan rasuah, selain berpotensi memberi implikasi besar terhadap kewangan negara jika dakwaan tersebut benar.
“Ke sinilah perginya duit minyak rakyat. Berbillion-billion. Bila duit tidak cukup untuk beri projek, minyak naik lagi,” katanya dalam Facebook hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik kerjasama politik antara PKR dan DAP.
“PKR dan UMDAP sama-sama nyanyi Hoi Ya Hoi sekarang,” sindirnya lagi.
Dalam pada itu, Isham juga membangkitkan persoalan orang ramai mengenai mengapa saksi dalam kes berkenaan masih belum membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali gus menambah tekanan agar siasatan segera dijalankan.










