Isham Jalil fokus isu peluang pekerjaan golongan muda dan ekonomi di Shah Alam

SHAH ALAM: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen (P.108) Shah Alam, Hizatul Hisham Abdul Jalil memberitahu fokus beliau adalah untuk mencari penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk di Shah Alam.

Justeru itu katanya, sektor ekonomi, peluang pekerjaan dan pembangunan infrastruktur antara perkara yang menjadi tumpuan utama.

“Seperti di Padang Jawa, kawasan itu ramai B40, bukan saja masalah ekonomi, tetapi masalah jalan raya berlubang, masalah air dan parit.

“Jadi fokus saya adalah untuk mencari penyelesaian kepada masalah bukan mencari siapa yang salah.

“Jadi kempen saya merupakan kempen positif iaitu kita beritahu rakyat apa yang kita nak buat untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, hari ini.

Dalam pada itu, Isham memaklumkan beliau juga mahu memperjuangkan isu yang dihadapi golongan muda terutama kadar penggangguran.

“Saya nak perjuangkan banyak isu orang muda sebab lepas Covid-19 ramai golongan muda hilang pekerjaan.

“Kadar pengangguran kita 3.4 peratus tetapi kadar pengangguran golongan muda 14 peratus disebabkan oleh banyak kedai-kedai tutup.

“Untuk selesaikan masalah ini kita kena tolong PKS (perusahaan kecil dan sederhana) supaya mereka boleh mengambil kembali golongan muda bekerja,” katanya yang turut mahu memberi tumpuan kepada isu banjir di Shah Alam.

Isham yang bertanding pertama kali pada pilihan raya berdepan saingan empat penjuru iaitu calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Afif Bahardin, Azli Yusof (Pakatan Harapan-PH) dan Muhammad Rafique Rashid (Gerakan Tanah Air -GTA).

BBerkaitan

Latest articles