IRIB Umum Khamenei ‘Syahid’, Iran Berdepan Fasa Genting

TEHRAN: Iran memasuki fasa paling kritikal dalam sejarah politik moden republik itu apabila media rasmi negara melaporkan Pemimpin Agung, Ali Khamenei, meninggal dunia awal pagi Ahad.

Pengumuman tersebut dibuat oleh penyiar milik kerajaan, Islamic Republic of Iran Broadcasting (IRIB), yang menyatakan bahawa “Pemimpin Agung Iran telah syahid”, sekali gus mengesahkan spekulasi yang berlegar sejak beberapa jam sebelumnya.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan pihak Israel mendakwa Khamenei maut dalam serangan ketenteraan bersama terhadap Iran.

Namun, dakwaan itu pada awalnya dinafikan Tehran yang menyifatkannya sebagai sebahagian daripada perang psikologi terhadap republik Islam berkenaan.

Pengumuman rasmi oleh media negara kini menandakan perubahan ketara dalam naratif terdahulu, walaupun kerajaan Iran masih belum memperincikan punca sebenar kematian tokoh berusia 86 tahun itu.

Setakat ini, tiada kenyataan lanjut mengenai proses peralihan kuasa atau individu yang bakal menggantikan Khamenei sebagai pemimpin tertinggi negara.

Mengikut struktur politik Iran, jawatan itu memegang kuasa tertinggi dalam hal ehwal negara, termasuk ketenteraan, kehakiman dan dasar luar.

Pemergian Khamenei dijangka memberi kesan besar terhadap kestabilan dalaman Iran serta landskap geopolitik Asia Barat yang sedia tegang.

Perkembangan ini juga berpotensi mengubah dinamik hubungan Iran dengan Amerika Syarikat dan Israel, yang sekian lama berada dalam ketegangan berpanjangan.

BBerkaitan

Latest articles