Iran Lancarkan Peluru Berpandu Balistik Ke Israel

BAITULMAQDIS/BEIRUT: Iran menerusi Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) melancarkan lebih 180 peluru berpandu balistik ke arah Israel pada malam Selasa sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pemimpin pejuang yang disokong Tehran, mencetuskan kebimbangan di seluruh wilayah dan ikrar untuk membalas dendam.

Tentera Israel mengumumkan perkara itu selepas kira-kira sejam serangan berkenaan berakhir dengan sejumlah besar peluru berpandu yang pihaknya dakwa berjaya dipintas.

Sebelum ini, tentera Israel mendakwa bahawa Iran mula melancarkan peluru berpandu ke kawasan Palestin yang diduduki rejim itu.Rakaman video dari beberapa bandar di Iran seperti ibu negara Tehran menunjukkan bahawa serangan peluru berpandu telah dilancarkan terhadap entiti Zionis.

Tehran, Isfahan, Tabriz, Shiraz, Khorramabad, Arak dan lain-lain di seluruh Iran menyaksikan pelancaran misil ke udara.

Dalam satu kenyataan, IRGC berkata, serangan peluru berpandu itu adalah tindak balas terhadap pembunuhan yang dilakukan oleh Zionis dan jenayah di Palestin dan Lubnan.

“Sebagai tindak balas ke atas pemergian Ismail Haniyeh, Hassan Nasrallah dan Komander IRGC Abbas Nilforushan, kami menyasarkan pusat wilayah yang diduduki,” kata IRGC dalam satu kenyataan.

IRGC Iran memberi amaran kepada rejim Israel mengenai tindak balas yang lebih hebat jika ia bertindak balas terhadap serangan itu.

“Selepas menahan diri daripada bertindak terhadap pencabulan kedaulatan Iran dalam pembunuhan Ismail Haniyeh oleh rejim Zionis dan hak yang sah untuk mempertahankan diri berasaskan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta peningkatan jenayah rejim itu dengan sokongan Amerika Syarikat (AS) dalam pembunuhan beramai-ramai di Lubnan dan Gaza dan ‘kesyahidan’ Setiausaha Agung Hizbullah, Hassan Nasrallah serta Komander dan Penasihat IRGC di Lubnan Jeneral Abbas Nilforushan, IRGC melancarkan puluhan peluru berpandu,” katanya.

IRGC menyasarkan sasaran penting tentera dan keselamatan di pusat wilayah diduduki.

Operasi itu dilaksanakan dengan kelulusan Majlis Keselamatan Tertinggi Nasional serta sokongan Tentera Republik Islam Iran dan Kementerian Pertahanan.

“Jika rejim Zionis bertindak balas secara ketenteraan terhadap operasi ini yang dilakukan mengikut hak negara ini berasaskan undang-undang dan undang-undang antarabangsa, ia akan menghadapi serangan lebih hebat dan menghancurkan,” kata IRGC sebagai amaran.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyifatkan serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel sebagai kesilapan besar.

Justeru, beliau berkata, pihaknya berikrar untuk memaksa Tehran ‘membayar semula’.

“Iran melakukan kesilapan besar malam ini dan perlu membayar untuknya,” katanya selepas serangan itu sambil memberi amaran akan membalas serangan sekiranya ada pihak menyerangnya.

Dalam kenyataan berasingan, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, yang berada di pusat komando dan kawalan pemantauan pintas peluru berpandu Iran turut berjanji menghukum Iran atas serangan terbabit.

“Iran belum menerima pengajaran mudah apabila mereka menyerang Israel. Jadi mereka akan membayar harga yang tinggi,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pejabatnya.

Sementara itu, petugas perubatan Israel melaporkan dua orang mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan, manakala di Tebing Barat yang diduduki pula seorang rakyat Palestin terbunuh di Jericho.

Gabenor Jericho, Hussein Hamayel, mengesahkan warga Palestin yang maut itu dipercayai terkena serpihan roket yang jatuh di udara dan mengenai mangsa.

Susulan serangan itu, ruang udara Israel ditutup selama beberapa jam dengan semua jadual penerbangan terpaksa diubah, demikian menurut seorang jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang.

Iraq dan Jordan yang terletak antara Iran dan Israel juga bertindak menutup ruang udara mereka.

Pada masa sama, Lubnan turut menutup ruang udaranya sebelum membuka semula.

Menurut Jordan, sistem pertahanan udaranya bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron

BBerkaitan

Latest articles