TEHRAN: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian semalam memberi amaran, negara itu akan melakukan tindakan balas lebih dahsyat sekiranya rejim Israel meneruskan kempen pengeboman sembilan hari.
Apa pun keadaan, republik Islam itu menegaskan pihaknya tidak akan sesekali menghentikan program nuklearnya.
Awal pagi tadi, Pengawal Revolusi Iran mengumumkan satu gelombang besar ‘dron bunuh diri’ dilancarkan ke atas sasaran strategik di seluruh Israel.
Sambil menafikan tuduhan bahawa Tehran kononnya berhasrat membina bom atom, Pezeshkian menegaskan adalah menjadi hak Iran untuk meneruskan program pembangunan dan penggunaan tenaga nuklear untuk tujuan aman dan bukan ketenteraan.
Tegasnya hak Iran juga tidak boleh dinafikan melalui sebarang ancaman atau peperangan.
Dalam satu panggilan telefon dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, Pezeshkian berkata Iran bersedia berbincang dan bekerjasama bagi membina keyakinan dalam aktiviti nuklear secara aman.
“Namun, kami tidak bersetuju untuk mengurangkan aktiviti nuklear kami kepada sifar dalam apa juga keadaan.
“Tindak balas kami terhadap pencerobohan berterusan rejim Zionis akan menjadi lebih dahsyat,” katanya menurut agensi berita rasmi Iran, IRNA.
Semalam, Israel mendakwa pihaknya membunuh tiga lagi komander Iran dalam serangan ofensif yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Menteri Luarnya, Gideon Saar, berkata rejim Zionis akan melakukan segala termampu untuk menghapuskan ancaman ini termasuk meneruskan serangan terhadap Iran.
Sejak rejim Zionis memulakan kempen udaranya pada 13 Jun lalu atas alasan Tehran kononnya hampir membangunkan senjata nuklear, Israel-Iran saling bertindak balas dengan masing-masing melancarkan serangan dahsyat.
Semalam juga, Israel mendakwa berjaya menyerang tapak nuklear Isfahan di Iran buat kali kedua.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pula melaporkan bengkel pembuatan sentrifug iaitu mesin memperkayakan uranium terkena serangan.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berada di Istanbul semalam bagi menghadiri mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk membincangkan konflik terbabit.