International Global Network (IGN) Bakal Himpun 2000 Pelajar Dari 60 Buah Negara Pada Dua Acara Utama Di Kuala Lumpur 2025

KUALA LUMPUR: Asia Youth International Model Nations (AYIMUN) ke 16 dan Asia World Model United Nations (AWMUN) X iaitu dua acara utama terbesar anjuran International Global Network (IGN) akan membuka tirai pada 2025 dengan memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi penganjuran.

Kedua-dua acara ini akan diadakan di Hotel Berjaya Times Square, Kuala Lumpur dan dijangka akan menarik kira-kira 2,000 pelajar dari lebih 60 negara.

Presiden IGN, Muhammad Fahrizal berkata Kuala Lumpur dipilih sebagai lokasi penganjuran kerana kerjasama yang sedia terjalin dengan pelbagai entiti pendidikan dan kerajaan.

“Kuala Lumpur dipilih sebagai salah satu bandar utama penganjuran kerana kerjasama yang sedia terjalin dengan pelbagai entiti pendidikan dan kerajaan serta sebagai pusat utama yang mempromosikan pertukaran budaya dan aksesibiliti untuk belia seluruh Asia,” katanya.

Presiden IGN, Muhammad Fahrizal berucap pada majlis sidang media Inspiring Young Leaders, di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media Inspiring Young Leaders bagi program Asia Youth International Model Nations (AYIMUN) 16th dan Asia World Model United Nations (AWMUN) bertempat di Hotel Berjaya Times Square, di sini hari ini.

Turut hadir adalah Pengarah Urusan Redcloud Synergy, Mohd Reduan Zain; Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Berjaya Times Square Hotel, Tricia Loh, pegawai dari Kementerian Pendidikan, Kementerian Sukan, dan Kementerian Pelancongan dan ibu bapa alumni, dan wakil pelajar tempatan.

Mengulas lanjut, Fahrizal berkata persidangan itu akan membawa tema “Menghadapi Dilema Politik Global: Peranan Belia untuk Mengukuhkan Multilateralisme,”- AYIMUN ke-16 akan mengkaji kerumitan politik global dan bagaimana pemimpin muda boleh menjadi juara dalam kerjasama pelbagai hala.

“Tema ini menyeru para delegasi belia untuk memahami cabaran dalam landskap antarabangsa hari ini, daripada konflik diplomatik hingga persaingan ekonomi, dan menekankan peranan mereka dalam memupuk keamanan dan kerjasama.

“Melalui simulasi, perdebatan, dan perbincangan interaktif, para peserta akan memperoleh kemahiran asas dalam diplomasi, perundingan, dan kepimpinan,” katanya.

Tambah beliau, acara IGN ini menyediakan platform berharga bagi delegasi belia untuk berhubung, terlibat dengan isu-isu antarabangsa yang mendesak, dan meningkatkan kemahiran insaniah mereka, melengkapkan mereka untuk menjadi pemimpin global masa hadapan.

“Persidangan ini bukan sahaja memupuk pemahaman mendalam tentang cabaran global tetapi juga membangunkan kemahiran kritikal seperti kerjasama, penyelesaian masalah, dan kemahiran komunikasi,” tambahnya.

Selain Kuala Lumpur, acara tahun 2025 merangkumi rangkaian persidangan di bandar-bandar utama di seluruh Asia, seperti Seoul, Bali, dan Bangkok.

IGN 2025 dijangka akan menyambut lebih daripada 5,000 pelajar dari sekurang-kurangnya 100 negara di seluruh dunia, menghubungkan pemimpin masa depan merentasi sempadan dan budaya.

BBerkaitan

Latest articles