Inspektor Sheila Yang Ditahan Cetus Kekecohan Dibebas Dengan Jaminan Polis

GOMBAK: Seorang wanita dikenali sebagai Inspektor Sheila ditahan polis selepas dipercayai mencetuskan kekecohan termasuk bertelingkah dengan peniaga di kawasan Batu Caves, di sini, semalam.

Bagaimanapun, wanita terbabit telah dibebaskan hari ini selepas tamat reman selama sehari dengan jaminan polis.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan, penahanan itu dibuat susulan kejadian di luar jangka yang mencetuskan ketegangan dan gangguan ketenteraman awam di kawasan berkenaan.

“Suspek ditahan dan direman sehari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Kepolisan Komuniti sempena sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves, hari ini.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar serta Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar.

Menurut Mohd Khalid, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Mengulas status wanita berkenaan, beliau berkata individu terbabit pernah berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kini dikaitkan dengan beberapa isu termasuk aspek kesihatan.

“Siasatan masih diteruskan dan kita menunggu arahan lanjut daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi menentukan tindakan seterusnya,” jelasnya.

Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video yang memaparkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Inspektor Sheila’ bertindak agresif sehingga menimbulkan kekecohan dan akhirnya ditahan polis di kawasan Batu Caves.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Khalid turut memaklumkan seramai kira-kira 1,400 anggota dan pegawai keselamatan dikerahkan bagi mengawal situasi sepanjang sambutan Thaipusam yang berlangsung selama 24 jam.

Operasi keselamatan itu turut disokong agensi lain termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia serta Jabatan Kerja Raya.

“Setakat ini tiada insiden serius dilaporkan. Langkah pencegahan sentiasa diambil bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk pergaduhan kecil seperti yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya sambil memaklumkan sambutan Thaipusam tahun ini mencatat kehadiran sekitar 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung.

BBerkaitan

Latest articles