KUALA LUMPUR: Pegawai polis yang kini digantung tugas, Inspektor Sheila Sharon Steven Kumar, sekali lagi menjadi tumpuan selepas tampil membuat tiga laporan polis berasingan dalam satu hari, susulan beberapa insiden tular membabitkan dirinya.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan perkara itu dan menjelaskan bahawa laporan pertama dibuat kerana Sheila tidak berpuas hati dengan tangkapan ke atasnya sebelum ini mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan. Laporan itu, katanya, telah dirujuk semula kepada laporan asal untuk semakan mengikut prosedur siasatan standard.
Laporan kedua pula menyentuh dakwaan Sheila bahawa anggota polis tidak menghormatinya sebagai pegawai kanan.
Namun, hasil penelitian polis mendapati tiada unsur kesalahan dan ia diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebelum dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).
Sementara itu, laporan ketiga melibatkan perselisihan faham antara Sheila dan seorang peniaga makanan yang tular dalam video 43 saat di media sosial semalam.
Polis mengesahkan laporan tersebut diklasifikasikan sebagai tiada apa-apa kesalahan (NOD).
Insiden berkenaan terus mengundang perhatian ramai, terutama selepas beberapa siri rakaman video Sheila bersama orang awam tersebar luas dalam tempoh 24 jam terakhir.










