Insinerator Batu Arang: Realiti Teknologi Moden dan Perspektif Seimbang

Cadangan pembinaan loji insinerator bernilai RM4.5 bilion di Batu Arang telah menimbulkan pelbagai reaksi. Sesetengah pihak memberi amaran tentang kemungkinan bencana seperti kebakaran bawah tanah, lalu mengaitkannya dengan sejarah perlombongan arang batu di kawasan itu. Namun, dalam keghairahan menimbulkan kebimbangan, kita perlu bertanya: adakah hujah-hujah yang dibangkitkan berlandaskan fakta dan teknologi semasa, atau lebih dipengaruhi oleh ketakutan yang kurang berpijak kepada realiti?

Teknologi Insinerator Sudah Jauh Maju

Loji insinerator moden tidak sama seperti yang dibina beberapa dekad lalu. Ia kini dilengkapi sistem keselamatan pelbagai lapisan, termasuk kawalan suhu automatik, sistem pengawasan tekanan gas, dan penapisan pencemaran terkawal sepenuhnya. Negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman telah lama menggunakan teknologi ini di kawasan bandar yang jauh lebih padat daripada Batu Arang — tanpa sebarang rekod bencana yang dikaitkan secara langsung dengan loji tersebut.

Lebih penting lagi, sebarang projek seperti ini di Malaysia diwajibkan melalui Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) yang ketat. Laporan ini bukan sahaja menilai risiko geologi dan persekitaran, tetapi juga memberi syor mitigasi yang wajib dipatuhi oleh pihak pemaju. Jika laporan EIA mendapati lokasi tidak sesuai, maka projek boleh diubahsuai atau dipindahkan. Justeru, sebarang kebimbangan perlu diasaskan kepada dapatan laporan ini, bukan andaian atau sejarah lama semata-mata.

Batu Arang: Dahulu Lombong, Kini Kawasan Industri Aman

Satu lagi fakta yang sering terlepas pandang ialah kewujudan kilang peluru SME Ordnance Sdn Bhd (SMEO) di Batu Arang. Walaupun ianya bukanlah terletak di kawasan yang dikatakan mahu membina loji berkenaan, namun Kilang ini telah beroperasi sejak beberapa dekad, menghasilkan pelbagai jenis amunisi termasuk peluru berkaliber besar, namun tidak pernah berlaku sebarang bencana besar yang berpunca daripadanya.

Ini menunjukkan bahawa kewujudan bekas lombong arang batu tidak semestinya bermakna kawasan itu berisiko tinggi untuk semua jenis pembangunan. Dengan pengurusan dan pemantauan yang betul, aktiviti industri berteknologi tinggi boleh beroperasi dengan selamat di Batu Arang.

Memilih Untuk Maju, Atau Terus Tertinggal?

Menteri besar Amirudin Shari (right) at the launch of the Selangor Draft Structure Plan 2035 in Shah Alam. (Bernama pic)

Satu persoalan penting harus diajukan: adakah kita masih mahu kekal dengan kaedah penghapusan sampah lama yang konvensional dan lebih mencemarkan alam sekitar, hanya kerana kita takut dimomokkan oleh kebimbangan yang belum terbukti? Tapak pelupusan sisa semakin penuh, pencemaran tanah dan air bawah tanah kian membimbangkan, dan pelepasan gas metana dari tapak pelupusan adalah antara penyumbang utama pemanasan global.

Kita harus akui bahawa membakar sisa dengan kawalan teknologi moden adalah jauh lebih bersih, efisien, dan menjimatkan ruang. Bahkan, tenaga elektrik boleh dijana semula — satu langkah ke arah ekonomi kitaran dan kelestarian alam.

Wacana Rasional, Bukan Sensasi

Kita tidak menafikan bahawa keselamatan awam harus menjadi keutamaan. Namun, menyekat pembangunan berdasarkan andaian atau rasa takut yang tidak disokong bukti saintifik hanya akan menyebabkan Malaysia ketinggalan. Setiap negara yang membangun perlu mencari keseimbangan antara keperluan pengurusan sisa, kelestarian alam, dan kemajuan ekonomi.

Jika negara lain boleh mengurus insinerator dengan selamat, mengapa Malaysia — dengan sumber kejuruteraan dan pengawasan yang kian meningkat — tidak mampu melakukan perkara yang sama?

Kesimpulan

Daripada menolak cadangan projek secara total, masyarakat sewajarnya mendesak agar semua dapatan EIA didedahkan secara telus, supaya penilaian risiko dapat dibuat secara objektif. Pihak berkuasa juga wajar memberi jaminan tentang langkah pemantauan berkala dan penglibatan komuniti dalam proses pelaksanaan projek.

Ketakutan yang tidak berasaskan ilmu hanya akan mengikat kita di belakang. Sudah tiba masa kita menilai cadangan pembangunan berdasarkan fakta, teknologi semasa dan keberanian untuk bergerak ke hadapan — bukan semata-mata bayang-bayang masa lalu.

Masihkah kita ingat mengenai Projek Lynass, ketika dahulu, cukuplah kita dimomokkan dengan ketakutan itu, namun akhirnya ianya tetap selamat selagi segala kepatuhan mengenai menjaga alam sekitar dipenuhi dan dipatuhi.

artikel ini adalah pandangan peribadi pengarang Portal The Rakyat insight 

BBerkaitan

Latest articles