Insiden Pulau Angsa: Kotak Hitam Helikopter APMM Dihantar Ke Itali Untuk Dianalisis

PUTRAJAYA: Kotak hitam helikopter AW139 milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor bulan lalu, dihantar terus ke Itali untuk dianalisis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Maritim Malaysia membuat keputusan untuk menghantar kotak hitam itu terus Itali memandangkan helikopet (Agusta) itu merupakan keluaran dari syarikat di Itali.

“Kita temui ada sedikit kesan kerosakan yang memerlukan kotak hitam itu dianalisis oleh syarikat pengeluaran untuk kita mengetahui maklumat lebih tepat tentang rakaman yang dirakam oleh kotak hitam itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maritim Malaysia di sini, hari ini.

Ditanya mengenai bila hasil analisis itu akan diperolehi, beliau berkata, ia mungkin akan mengambil sedikit masa memandangkan kotak hitam itu baru sahaja dihantar kepada syarikat pengeluar helikopter terbabit.

Sebelum ini, media melaporkan kotak hitam pesawat itu sukar dikesan akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad disebabkan dasar laut berlumpur.

Bagaimanapun, ia berhasil ditemui pada 17 April lalu iaitu selepas 44 hari pesawat itu melakukan pendaratan cemas ketika melaksanakan latihan menyelamat di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor pada 5 Mac lalu.

BBerkaitan

Latest articles