Insiden Bakar Al-Quran Langkah Provokasi Dan Menghina Islam

KUALA LUMPUR: Tindakan membakar Al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku, kata Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya. 

Beberapa hari lalu, insiden membakar Al-Quran berulang kembali iaitu di Stockholm, Sweden. 

Susulan itu, Ahmad Yahaya berkata kerajaan perlu segera memanggil wakil Kedutaan Sweden susulan insiden itu. 

Beliau berkata, lebih mendukacitakan apabila perkara itu seolah-olah mendapat restu daripada Kerajaan Sweden atas nama kebebasan sedangkan ia merupakan langkah provokatif dan menghina agama Islam.

“Tindakan membakar al-Quran oleh ahli politik berdarah Sweden-Denmark, Rasmus Paludan bukanlah kali pertama berlaku.

“Tahun lalu tindakan provokasi yang sama telah dilakukan sehingga mendorong kebangkitan daripada umat Islam.

Paludan mensasarkan bandar-bandar yang didiami oleh umat Islam seperti Linkoping, Malmo dan Stockholm sendiri.

“Lebih mendukacitakan adalah reaksi kerajaan Sweden lebih bimbangkan keganasan yang bakal tercetus selepas insiden tersebut, bukan sebaliknya mencegah langkah membakar al-Quran itu terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Oleh itu, menurut Ahmad Yahaya, sewajarnya kerajaan menyuarakan amaran yang tegas ini melalui jalan diplomatik yang ada. 

Beliau berkata, kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang insiden provokatif apatah lagi menghina kesucian agama Islam.

Beliau juga mahu umat Islam supaya turun bersolidariti bersama-sama membantah penghinaan terhadap agama Islam ini pada Jumaat ini 27 Januari ini di KLCC berarak ke kedutaan Sweden.

“Sudah sampai masanya umat Islam menyuarakan bantahan keras terhadap Kerajaan Sweden ini. Saya juga ingin menggesa Kerajaan supaya mengusulkan suatu mesyuarat tergempar OIC bagi membincangkan tindakan susulan yang lebih meluas melibatkan negara-negara Islam yang lain.

“Setiap ruang diplomatik perlu dioptimum bagi membantah tindakan tersebut dengan tegas,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

BBerkaitan

Latest articles