KOTA KINABALU: Kemungkinan pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari tingkat tiga asrama sekolahnya dinafikan oleh Dr Jessie Hiu, Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE).
Dalam keterangannya di Mahkamah Koroner, beliau menjelaskan bahawa palang besi di koridor terlalu tinggi untuk membolehkan remaja berusia 13 tahun itu jatuh hanya kerana terdorong atau tersandung.
“Sekiranya ditolak, palang berkenaan akan menghalang. Berdasarkan pengukuran di lokasi, kebarangkalian lebih besar ialah Zara memanjat tembok konkrit lalu melompat, atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi,” katanya ketika menjawab pertanyaan Pegawai Pengendali Inkues, Datuk Badiuszaman Ahmad, seperti dilaporkan Harian Metro.
Dr Jessie turut mendedahkan, hasil demonstrasi yang dilakukan di asrama bersama pegawai perubatan HQE serta anggota polis menunjukkan kedudukan tubuh Zara ketika ditemui di bawah bangunan selari dengan kemungkinan itu.
Arwah dipercayai jatuh dengan kaki terlebih dahulu mencecah tanah sebelum badannya rebah menghadap ke atas.
Inkues ini diadakan bagi merungkai punca sebenar kematian Zara yang ditemui tidak sedarkan diri kira-kira jam 4 pagi, 16 Julai lalu di bawah bangunan asrama sekolahnya di Papar.
Beliau menghembuskan nafas terakhir sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth.
Prosiding dijangka berlangsung sepanjang September dengan lebih 60 saksi, termasuk rakan sekolah, guru, pakar perubatan dan pegawai keselamatan, dijadualkan tampil memberi keterangan.