KOTA KINABALU: Seorang pakar patologi memberitahu Mahkamah Koroner bahawa beliau tidak percaya sebuah mesin basuh mampu berfungsi sekiranya dimasukkan beban seberat 53 kilogram, iaitu berat badan Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Keterangan itu diberikan Dr Jessie Hiu dari Hospital Queen Elizabeth ketika disoal oleh Pegawai Pengendali Inkues, Datuk Badiuszaman Ahmad, berhubung kemungkinan remaja berusia 13 tahun itu dimasukkan ke dalam mesin basuh, lapor Berita Harian.
Namun, Dr Hiu menjelaskan beliau tidak meneliti saiz sebenar mesin basuh berkenaan yang ditemuinya di tingkat bawah asrama sekolah ketika menjalankan pemeriksaan lokasi.
“Saya nampak mesin basuh jenis domestik berhampiran tangga, tapi tidak pasti jumlah atau saiznya. Saya dimaklumkan berat Zara 53kg, dan secara logiknya saya tidak percaya mesin itu boleh dihidupkan dengan berat sebegitu,” katanya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari kedua prosiding.
Inkues ini dijalankan bagi menyiasat punca kematian Zara yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4 pagi, 16 Julai lalu selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar.
Mangsa kemudian meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth keesokannya. Jenazahnya turut digali semula pada 9 Ogos untuk proses bedah siasat susulan dakwaan dia menjadi mangsa buli.
Prosiding inkues berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu itu dijadualkan berlangsung sehingga 30 September dengan memanggil puluhan saksi termasuk pakar perubatan dan rakan sekolah arwah.