Inkues Zara Qairina: Pakar Forensik Sahkan Kecederaan Otak Kritikal Sebelum Maut

KOTA KINABALU: Inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, hari ini mendedahkan maklumat penting apabila pakar patologi forensik mengesahkan remaja berusia 13 tahun itu berada dalam keadaan kritikal ketika tiba di Hospital Queen Elizabeth (HQE) awal pagi 16 Julai lalu.

Saksi pertama prosiding, Dr Jessie Hiu dari Jabatan Perubatan Forensik HQE, memaklumkan Zara dibawa ke hospital pada jam 4.38 pagi dengan skor Glasgow Coma 3/15 (E1V1M1), iaitu tahap paling rendah dan menandakan kecederaan otak yang amat serius.

“Ketika tiba, arwah tidak sedarkan diri. Amaran trauma segera diaktifkan pada jam 4.42 pagi dan beliau dinilai serta diuruskan oleh pasukan perubatan pelbagai disiplin,” katanya ketika membacakan keterangan bertulis setebal lima muka surat di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurutnya, siri pemeriksaan klinikal termasuk imbasan CT, CTA dan radiograf mendapati Zara mengalami pelbagai kecederaan serius, antaranya hematoma kulit kepala, pendarahan intrakranial dengan pembengkakan otak, ensefalopati iskemik hipoksik, patah jejari kiri serta dislokasi pergelangan tangan, patah tibia kiri, dislokasi buku lali, patah tulang tumit (calcaneum), patah vertebra lumbar kedua hingga keempat serta hematoma otot psoas dan tisu pelvis.

Dr Jessie mengesahkan Zara meninggal dunia pada jam 1.07 tengah hari, 17 Julai, akibat kecederaan otak traumatik yang teruk dengan komplikasi ensefalopati iskemik hipoksik.

Beliau turut menjelaskan memiliki pengalaman luas sejak berkhidmat di HQE pada 1998, dengan purata 100 hingga 150 bedah siasat dikendalikan setiap tahun selain kerap dipanggil sebagai saksi pakar di mahkamah.

Prosiding inkues turut menyaksikan Pegawai Pengendali, Datuk Badiuszaman Ahmad, meminta penjelasan lanjut mengenai keterangan Dr Jessie, termasuk berkaitan 172 keping gambar bedah siasat yang dikemukakan sebagai bukti.

Turut hadir di mahkamah ialah barisan peguam mewakili ibu bapa Zara serta pasukan pembelaan kepada lima remaja yang sedang berdepan pertuduhan membuli mangsa di Mahkamah Kanak-Kanak.

BBerkaitan

Latest articles