KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini membenarkan pasukan peguam yang mewakili lima pesalah kanak-kanak untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Keputusan itu dibuat oleh Koroner, Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan, selepas mendengar permohonan awal semua pihak berkaitan pagi tadi.
Peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri, berkata pihaknya sebelum ini membantah permohonan peguam remaja terbabit, namun bantahan tersebut ditolak.
“Kami menghormati keputusan mahkamah. Selain peguam kanak-kanak, Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) turut hadir sebagai pemerhati, manakala peguam kepada bapa arwah Zara juga dibenarkan menjadi pihak berkepentingan,” katanya ketika ditemui selepas prosiding.
Lima remaja terbabit diwakili pasukan peguam berasingan, dengan seorang remaja diwakili oleh Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala empat lagi oleh Azhier Farhan Arisin dan Abdul Fikry Jaafar Abdullah.
Prosiding petang ini dijangka memanggil saksi pertama daripada pihak forensik.
Setakat ini, sebanyak 68 saksi disenaraikan termasuk pegawai forensik, pakar patologi, anggota polis, pelajar sekolah, warden asrama serta guru.
Shahlan memaklumkan ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, juga tersenarai sebagai saksi, namun tarikh keterangan beliau akan diputuskan kemudian.
Beliau menambah, setakat ini tiada perintah larangan dikeluarkan mahkamah, namun prosiding secara tertutup akan dijalankan sekiranya saksi kanak-kanak dipanggil bagi melindungi identiti mereka.
Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolah agamanya di Papar pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia keesokannya di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.