Inkues Zara Qairina: Ibu Rayu Hentikan Himpunan Sementara Waktu

KOTA KINABALU: Pasukan guaman yang mewakili ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta semua pihak menangguhkan sebarang bentuk perhimpunan aman sehingga inkues kematian pelajar berusia 13 tahun itu selesai dijalankan.

Menurut mereka, langkah ini selaras dengan hasrat ibu arwah yang tidak mahu nama Zara dan slogan Justice For Zara disalahgunakan atau dikaitkan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab.

Kenyataan bersama itu ditandatangani enam peguam iaitu Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.

Pasukan peguam memaklumkan mereka menyedari ada individu ditahan serta didakwa di mahkamah susulan ucapan ketika berhimpun atau komen yang dimuat naik di media sosial berkaitan gelombang Justice For Zara.

“Bagi pihak anak guam, kami tidak mahu slogan mahupun nama arwah tercemar akibat tindakan yang boleh menjejaskan perjalanan inkues,” kata kenyataan itu.

Mereka menjelaskan, himpunan solidariti boleh diteruskan selepas mahkamah menyelesaikan prosiding inkues sepenuhnya.

Orang ramai juga dinasihatkan agar lebih cermat dalam memberikan pandangan atau kritikan di media sosial mengenai prosiding dan bukti yang dikemukakan di mahkamah bagi mengelakkan unsur subjudis.

“Kami yakin dengan kesabaran dan keyakinan kepada proses kehakiman, kebenaran akhirnya akan tersingkap dan keadilan untuk Zara dapat ditegakkan,” ujar pasukan guaman itu.

Dalam masa sama, mereka turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat yang hadir memberi sokongan melalui perhimpunan aman Solidariti Justice For Zara serta sumbangan dana bagi membantu menampung kos membawa pakar pelbagai bidang untuk membantu kes berkenaan.

BBerkaitan

Latest articles