Inkues Zara Qairina: Doktor Sahkan Tiada Tanda Dera, Mangsa Alami Trauma Impak Tinggi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner Kota Kinabalu hari ini diberitahu bahawa tiada kesan lebam atau tanda penderaan dikesan pada tubuh remaja perempuan, Zara Qairina Mahathir, ketika dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada 16 Julai lalu.

Pegawai perubatan jabatan kecemasan HQE, Dr Janefer Voo, memaklumkan mangsa tiba dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4.38 pagi, sebelum pasukan perubatan mengaktifkan kod “Trauma Alert” empat minit kemudian bagi rujukan segera kepada pakar Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan dan Anestesiologi.

“Berdasarkan pemeriksaan awal, pesakit mengalami bengkak dan pendarahan di bahagian belakang kepala, patah tertutup pergelangan tangan kiri, patah terbuka pergelangan kaki kiri serta patah tertutup pada pergelangan kaki kanan.

“Namun, tiada kesan lebam atau tanda-tanda penderaan ditemui pada tubuh pesakit,” katanya ketika membacakan kenyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Menurut Voo, penilaian lanjut mendapati Zara Qairina mengalami kecederaan otak trauma serius dan disyaki mengalami pendarahan dalaman akibat trauma impak tinggi.

Beliau menambah, selepas proses resusitasi dan pemeriksaan pengimejan, pesakit disahkan mengalami pelbagai kecederaan lain termasuk pendarahan dalam otak, patah terbuka pergelangan kaki kiri dan tumit kiri, patah tertutup lengan kiri dan kaki kanan, patah pada tulang belakang lumbar vertebrae 2, 3 dan 4 dan pembekuan darah pada tulang pelvis serta otot psoas kiri.

Dr Voo, yang juga pegawai perubatan pelatih dari Hospital Universiti Malaysia Sabah (UMS), adalah antara saksi dalam prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian pelajar tingkatan satu berusia 13 tahun itu.

Prosiding inkues dijadual bersambung esok.

BBerkaitan

Latest articles