KUALA LUMPUR: Rancangan untuk memulakan inisiatif pemberian tuala wanita secara percuma di ibu pejabat Kementerian Kesihatan di Putrajaya hanya bertujuan untuk melihat aspek pengoperasian dan mendapat maklum balas segera.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, sekiranya berhasil ia akan diperluaskan ke fasiliti-fasiliti kesihatan yang strategik dan melibatkan orang awam.
“Inisiatif ini mungkin nampak kecil tetapi boleh memberi impak yang besar untuk menangani isu kemiskinan haid, apatah lagi ianya sangat bertepatan dengan kesihatan menstrual dan sistem reproduktif Wanita,” katanya menerusi catatan di laman Facebook rasminya.
Beliau berkata demikian bagi memperjelaskan rancangannya untuk menangani kemiskinan haid selepas kenyataannya pada Isnin menimbulkan kekeliruan selain kritikan.
Dr Zaliha turut berterima kasih kepada orang ramai kerana memberikan pandangan mengenai inisiatif tuala wanita percuma itu.
Semasa perhimpunan bulanan kementeriannya pada Isnin, Zaliha berkata kementeriannya akan menyediakan tuala wanita percuma dalam usaha menangani kemiskinan haid.
Bagaimanapun, kenyataannya bahawa inisiatif itu akan bermula di pejabatnya mengundang kritikan.