Ini Isu Sokongan Akar Umbi, Bukan Pertikai Calon Muda

KUALA LUMPUR: Kritikan Tian Chua terhadap PKR bukan terarah kepada soal pencalonan orang muda dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sebaliknya bekas naib presiden PKR itu menjelaskan beliau mempersoalkan kewajaran menggugurkan Ahli Parlimen mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

“Mereka yang digugurkan sudah lama berkhidmat kepada rakyat dan mempunyai sokongan kukuh akar umbi. Itulah alasan saya. Saya bukannya mengadu mengenai peluang yang diberikan kepada orang muda.

“Saya rasa ada yang mempersoalkan kewajaran menggugurkan mereka yang mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Itu yang dipersoalkan akar umbi,” katanya memetik FMT.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada semalam membalas kritikan Tian Chua bahawa parti itu memberi landasan kepada muka baharu untuk bersinar pada PRU15.

Oleh kerana itu beberapa muka lama terpaksa digugurkan daripada bertanding.

Sebelum ini, Tian Chua dilaporkan berkata, ramai yang kecewa dengan keputusan itu dan “merombak Ahli Parlimen dan kerusi seperti permainan daun terup” boleh memberi kesan kepada akar umbi dan mengecewakan pengundi yang menyokong PKR serta Ahli Parlimen yang dipilih mereka.

“Apa yang saya katakan tiada kena-mengena dengan tidak memberi golongan muda peluang. Ia juga tiada kaitan dengan menjadi pro-Azmin Ali. Dakwaan mereka yang digugurkan adalah pro-Azmin hanyalah andaian.

“Saya bercakap mengenai rombakan. Muka baharu yang dipilih perlu bekerja keras untuk mengekalkan sokongan akar umbi,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles