“Ini Bukan Keputusan Sembarangan” – Anak Najib Pertahan Titah Addendum, Luah Kecewa

KUALA LUMPUR: Di tengah-tengah polemik berkaitan tahanan rumah Datuk Seri Najib Razak, anak perempuannya, Nooryana Najwa tampil mempertahankan kewujudan titah addendum, sambil meluahkan kekecewaan mendalam terhadap apa yang disifatkannya sebagai kegagalan pihak berwajib mengambil tanggungjawab sehingga memaksa keluarganya membawa perkara itu ke mahkamah.

Nooryana, atau lebih dikenali sebagai Yana Najib, berkata beliau yakin Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak akan mengeluarkan titah addendum berhubung tahanan rumah bekas Perdana Menteri itu tanpa terlebih dahulu mendapatkan nasihat undang-undang daripada Peguam Negara ketika itu.

Menurut beliau, titah berkenaan secara khusus ditujukan kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh selaku Peguam Negara, justeru tidak munasabah untuk menganggap tindakan Yang di-Pertuan Agong dibuat tanpa pertimbangan perlembagaan.

“Jika tindakan Seri Paduka Baginda tidak selaras dengan undang-undang atau Perlembagaan, sebagai Peguam Negara, sudah tentu anda akan menasihati baginda sebaliknya dan mencari jalan alternatif,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Yana berkata, apa yang lebih menyakitkan ialah ketiadaan pihak yang sanggup memikul tanggungjawab terhadap tindakan dan keputusan mereka, sehingga menimbulkan pelbagai komplikasi yang akhirnya menyemarakkan emosi serta kekecewaan yang terpendam.

Katanya, keadaan sebegitu tidak akan reda hanya dengan seruan supaya semua pihak bertenang dan bersabar, sedangkan persoalan asas masih dibiarkan tanpa jawapan.

Beliau turut menjelaskan bahawa permohonan semakan kehakiman bagi mengesahkan kewujudan serta pelaksanaan titah addendum bukanlah pilihan awal bapanya.

Sebaliknya, Najib memilih jalan diplomasi secara tertutup, tanpa perhatian umum, kerana memahami sensitiviti isu tersebut dan enggan meletakkan mana-mana pihak termasuk kerajaan dalam keadaan serba salah.

Namun, selepas lebih tiga bulan berusaha mendapatkan penjelasan melalui surat kepada kementerian dan agensi berkaitan, termasuk Jabatan Peguam Negara (AGC) serta Pejabat Perdana Menteri, usaha itu menemui jalan buntu apabila tiada sebarang maklum balas diberikan.

“Surat-surat itu seolah-olah tidak diendahkan, seakan ada cubaan untuk menutup kebenaran,” katanya, sambil menambah sekiranya pihak berkuasa tampil lebih awal menjelaskan kedudukan titah tersebut, masa dan kos untuk membawa perkara itu ke mahkamah dapat dijimatkan.

Yana menegaskan, membawa isu titah addendum ke mahkamah merupakan jalan terakhir selepas semua pintu lain tertutup.

Menurutnya, Najib kekal berpegang kepada prinsip untuk menghadapi cabaran secara terbuka, sambil menolak jalan melarikan diri daripada apa yang disifatkannya sebagai penganiayaan politik.

“Beliau mahu membersihkan namanya dan menegakkan kebenaran. Walaupun amat kecewa, saya yakin ayah saya akan terus berjuang dengan seluruh kudratnya,” katanya.

Sebagai seorang anak, Yana mengakui apa yang mampu dilakukannya kini hanyalah berdoa agar bapanya yang kini berusia 72 tahun dikurniakan kesihatan dan kekuatan mental untuk terus menghadapi ujian yang tidak berkesudahan.

“Semoga beliau diberi fikiran yang jernih dan hati yang tabah untuk melalui semua ini,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles